Bajet 2024 Negeri Melaka mampan, mesra peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 11 Disember – Bajet 2024 Negeri Melaka yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh baru-baru ini disambut baik oleh usahawan dan peniaga.

Bajet 2024 juga disifatkan sebagai mesra peniaga dan mampan selain kena dengan status Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan yang terkemuka di negara ini.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Melaka (SAMENTA Melaka), Datuk Vong Woon Khin berkata Bajet 2024 itu bersifat sederhana namun ia memberi sinar harapan kepada peniaga-peniaga baharu.

“Sebagai contoh, menerusi Bajet 2024, Ketua Menteri memaklumkan baik pulih, naik taraf, memperkenal dan perbanyakkan lagi lokasi perniagaan. Kita harap Kerajaan Negeri beri peluang kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga.

“Selain itu, peruntukan yang diberi oleh Kerajaan Negeri kepada usahawan yang baharu memulakan perniagaan diharap terus sampai ke usahawan terbabit,” katanya.

Nada sama turut disuarakan oleh Pengusaha Ternakan Ayam Kampung di Jasin, Faizal Ahmad Shafii yang menyifatkan Bajet 2024 sedikit sebanyak memberi galakan kepada usahawan baharu.

Jelasnya, peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri tidaklah besar jika dibanding dengan negeri lain, namun ia cukup untuk membantu pengusaha-pengusaha kecil.

“Bagi peniaga seperti saya, bantuan-bantuan daripada kerajaan sangat penting untuk kita terus bertahan dalam dunia perniagaan, apatah lagi mereka yang baru hendak memulakan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Milagrow, Siti Aisha Mat, menyatkan rasa optimis dan yakin Bajet 2024 Negeri Melaka akan mencapai objektif merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi tempatan.

Jelasnya, menerusi peruntukan RM200,000 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk program Mula Niaga membantu usahawan yang baharu menjalankan aktiviti perniagaan.

“Sebagaimana Milagrow sendiri turut mendapatkan bantuan daripada kerajaan dan melahirkan ramai usahawan dibawah kami.

“Jadi inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi Bajet 2024 adalah mesra peniaga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2130
Kongsi :
Previous post ‘SMART Hydrobike’ inisiatif UTeM kekal kebersihan Sungai Melaka
Next post Melaka kaji skim gaji dan elaun SSPA penjawat awam
Ubah saiz-+=