‘SMART Hydrobike’ inisiatif UTeM kekal kebersihan Sungai Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KOTA LAKSAMANA 11 Disember – Menyedari kepentingan dan peranan sungai dalam menjaga keseimbangan ekosistem alam sekitar, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan inisiatif hijau ‘SMART Hydrobike’ yang pertama di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, produk hasil inovasi itu direka bagi memudahkan lagi kerja membersihkan sampah terapung di permukaan air.

Katanya, produk berkenaan adalah hasil rekaan pensyarah dan pelajar UTeM seberat 22 kilogram mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

“Rangka utama ‘SMART Hydrobike’ diperbuat daripada aloi aluminium, dilengkapi pedal kayuhan dan didorong kipas juga daripada aloi aluminium dengan sistem kawalan arah tanpa ciri kemudi yang stabil serta mudah diselenggara.

“Bergantung kepada keperluan ‘SMART Hydrobike’ boleh dipasang dengan pelbagai sensor bagi mengambil bacaan suhu, kelembapan dan parameter selain peranti mengesan lokasi basikal,” katanya ketika ditemui selepas Program SMART Hydrobike Melestarikan Sungai Melaka Bersama UTeM dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Noor Helmy Abdul Halem dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk TPr. Murad Husin.

Mengulas lanjut, beliau berkata basikal air atau ‘SMART Hydrobike’ akan dikomersilkan menjadi produk inovasi pertama yang membantu Kerajaan Negeri membersihkan Sungai Melaka.

“UTeM mempunyai senarai produk baharu yang dihasilkan oleh penyelidik dan pelajar, kita akan pastikan semua produk ini menepati kehendak dan memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri serta komuniti

“Jika banyak permintaan kita di UTeM akan tambah jumlah pengeluarannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1032
Kongsi :
Previous post Polis syak mungkin hanya seorang individu terlibat pembunuhan Zayn Rayyan
Next post Bajet 2024 Negeri Melaka mampan, mesra peniaga
Ubah saiz-+=