Melaka lakar sejarah himpun lebih 13,000 calon SPM, STPM berdiskusi

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 23 November – Lebih 13,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini dihimpunkan mengikuti program bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan di Universiti Multimedia Melaka (MMU), di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program secara maya dan bersemuka anjuran Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) itu membabitkan semua sekolah dari setiap daerah di negeri ini.

Katanya, program itu sekali gus menjadi platform perkongsian dan membuka peluang calon peperiksaan berdiskusi di antara satu sama lain.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri komited dalam memastikan Gred Purata SPM, Peratus Layak Sijil SPM dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) STPM tahun ini mampu ditingkatkan berbanding tahun sebelumnya.

“Program ini telah melakar sejarah tersendiri apabila seramai 12,408 calon SPM dan STPM dari seluruh negeri telah mengikuti program ini secara maya di semua sekolah bersama-sama dengan 1,000 orang pelajar yang hadir secara bersemuka pada program ini.

“Platform yang digunakan ini membolehkan para pendidik dan pelajar berdiskusi dengan beberapa buah sekolah lain dan diharapkan dapat memberi peluang terbaik kepada pelajar untuk mengikuti bengkel teknik menjawab dengan lebih sistematik di bawah pengawasan dan pengalaman guru-guru pakar yang dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka CARE SPM STPM 2023 di Universiti Multimedia Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Melaka, Datin Wira Siti Rohaya Kamaluddin; Pengurus Besar TAPEM, Senator Datuk Mustafa Musa dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Ghazali Ahmad.

Berkongsi misi dan visinya, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan berusaha merealisasikan aspek pembentukan negara bangsa menerusi pendidikan dan tidak akan membiarkan hanya sekolah sahaja yang bergerak sendiri untuk mencapai hasrat berkenaan.

Malah, jelas beliau, Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong dan membantu usaha guru-guru untuk meningkatkan kecemerlangan di sekolah.

“Kerajaan Negeri menerusi TAPEM telah mengatur 11 inisiatif pendidikan demi membantu anak-anak Melaka sejak tahun 2000 hingga 2023 yang mana ia telah melibatkan sebanyak RM200 juta dimanfaatkan kepada 230,101 pelajar di negeri ini.

“Pelbagai bantuan-bantuan khas disediakan buat pelajar berkelayakan seperti Bantuan Pelajar Sekolah Rendah, Pinjaman Wang Pengajian Tinggi, Bantuan One Off ke IPT, Dermasiswa Pelajar Tahfiz dan banyak lagi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM14,748,953.50,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

786
Kongsi :
Previous post Warga emas, OKU dan ibu mengandung antara terjejas, lif tidak berfungsi
Next post [DIKEMASKINI] Pemuda maut dirempuh lori di Jalan Batang Tiga
Ubah saiz-+=