Sorting by

×

Melaka larang guru agama anti vaksin mengajar di masjid

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DUYONG 16 Sept. – Kerajaan negeri menetapkan guru agama, guru takmir dan pengkuliah diwajibkan lengkap dua dos vaksin sebelum dibenarkan mengajar di kelas-kelas pengajian dan kuliah secara bersemuka di masjid dan surau di negeri ini.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, ketetapan itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 Negeri selepas Melaka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan negara (PPN) yang menyaksikan aktiviti kelas pengajian dan kuliah secara bersemuka di masjid kini dibenarkan.

Jelasnya, tiada sebab untuk ada guru-guru agama yang tertinggal daripada menerima vaksin COVID-19 sedangkan kerajaan negeri telah membuka peluang kepada semua rakyat hadir secara datang terus ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negeri.

ABDUL HALIM…Melaka larang guru agama anti vaksin mengajar di masjid atau surau.

“Kita mahu pastikan tiada guru-guru, pemegang tauliah, guru takmir di negeri ini yang menjadi contoh dan ikutan masyarakat, termasuk dalam kumpulan anti vaksin.

“Kita mensyaratkan kepada pengerusi masjid dan surau agar mendapatkan maklumat guru-guru yang hadir mengajar secara fizikal di masjid dan surau agar membuktikan mereka telah lengkap dua dos vaksin dan jika tidak mereka tidak dibenarkan hadir secara bersemuka.

“Kita ada kira-kira 1,300 guru agama di bawah Jabatan Mufti…kita bimbang jika mereka ini memberi pengaruh dan kesan kepada anak murid mereka dalam kelas berkenaan,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, hari ini.

Tambah Abdul Halim, ketetapan mewajibkan vaksin itu juga turut terpakai kepada jawatankuasa masjid dan surau seperti imam, bilal dan noja dan begitu juga guru sekolah agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada laporan diterima membabitkan golongan agamawan yang enggan divaksin, namun pihaknya akan terus memantau perkara itu dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim turut memberi bayangan terdapat berita gembira akan diumumkan kerajaan negeri berhubung bilangan jemaah solat di masjid dan surau seluruh negeri.

Katanya, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat selepas dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Menangani COVID-19 Negeri sedikit masa lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1214
Kongsi :
Previous post Abd Malik juara Pidato Rukun Negara Yang di-Pertua Negeri Melaka
Next post 12 individu ke Genting Highlands dikompaun RM5,000
Ubah saiz-+=