Melaka larang kemasukan pekerja asing baharu

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Melaka melarang kemasukan pekerja asing baharu ke negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) negeri, Ramli Mohd Ali berkata, keputusan dibuat bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 yang kian membimbangkan kalangan pekerja asing.

Katanya, sekiranya ada syarikat ingin membawa masuk pekerja asing baharu, mereka perlu memohon dan mendapatkan kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Sebelum bawa masuk ke Melaka, syarikat atau kilang wajib memohon sebelum membawa masuk pekerja asing dan mengikut prosedur ditetapkan.

“Kita terpaksa lakukan kerana berlakunya satu kes oleh sebuah syarikat yang membawa masuk lebih 70 pekerja asing dengan 51 daripadanya dikesan positif COVID-19.

“Jadi, kita nak elakkan perkara seperti ini memandangkan 70 peratus kes jangkitan di kawasan industri adalah membabitkan warga asing,” katanya dalam sidang media selepas meninjau ke bebrapa kilang di kawasan Perindustrian Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) cawangan Melaka Datuk Jimmy Ong Chin Keng dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Arif Yusa.

Dalam pada itu, Ramli yang juga Pengurus Besar Invest Melaka memberi peringatan kepada kilang-kilang yang mencetuskan kluster COVID-19 dan diarahkan tutup agar mematuhi arahan untuk tidak beroperasi.

Tegasnya, jika didapati ada kilang melanggar arahan itu, tindakan boleh diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post Doa, bacaan Yasin untuk atlet berbasikal negara
Next post PKP bersasar di Ayer Keroh, lapan kilang ditutup
Ubah saiz-+=