PKP bersasar di Ayer Keroh, lapan kilang ditutup

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Kerajaan negeri melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar dengan menutup lapan kilang di Ayer Keroh termasuk asrama pekerja yang mencetuskan kluster COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Melaka, Ramli Mohd Ali berkata, pelaksanaan PKP selama 14 hari bermula malam tadi itu diambil berikutan berlaku peningkatan kes di kawasan berkenaan.

Kes membabitkan penularan dalam kalangan pekerja seramai 354 orang, termasuk 237 daripadanya warga asing.

Keputusan itu sekali gus melegakan kira-kira 15,000 penduduk membabitkan empat taman perumahan di sekitar Ayer Keroh apabila cadangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan mereka ditarik semula.

Menurut Ramli, keputusan dibuat setelah mengambil kira pandangan beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk membuat PKP secara bersasar membabitkan kilang ini yang mempunyai kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja.

“Kilang dan asrama pekerja ditutup sepenuhnya selama 14 hari, namun jika terdapat lagi kes di dalam kilang, penutupan akan disambung lagi dua minggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut di kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk di sekitar Ayer Keroh merayu supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan semula cadangan melaksanakan PKPD di kawasan itu.

Ramli berkata, beliau berkata pelaksanaan menutup operasi kilang dilaksanakan bermula malam tadi dengan enam daripada ditutup manakala dua lagi ditutup lebih awal.

Jelasnya, semua kos ujian calitan dan kos kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) swasta ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

“Semua ujian calitan pekerja sama ada tempatan dan warga asing perlu ditanggung oleh majikan dalam tempoh 14 hari.

“Majikan juga perlu melaksanakan ujian calitan kali kedua kepada pekerja asing dalam tempoh dua minggu itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

972
Kongsi :
Previous post Melaka larang kemasukan pekerja asing baharu
Next post Pos Malaysia mohon maaf, nafi rasionalisasi Pos Rider punca penghantaran lewat
Ubah saiz-+=