MELAKA MAHU ANGKAT PRODUK ANAK KAMPUNG

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERDANG 12 September – Melaka sedang meneliti satu lokasi khas untuk mempromosikan produk anak kampung di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lokasi khas tersebut akan menempatkan kios-kios dalam usaha membantu usahawan tempatan di Melaka terus berkembang.

Menurut beliau, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh akan mengetuai projek berkenaan bagi mencari lokasi yang bersesuaian.

“Dr. Muhamad Akmal boleh melihat dan memperincikan lagi tentang pasaran produk-produk yang dikeluarkan dari Melaka supaya ia seiring dengan kecemerlangan negeri ini.

“Kita boleh gunakan ia sebagai medium memperkembangkan lagi perniagaan anak-anak kampung yang berasaskan makanan tradisional Melaka.

“Jadi saya harap berbaki empat bulan lagi ini, kita boleh bawa mereka (anak kampung) ini memperkenal dan memasarkan produk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pavillion Negeri Melaka atau Rumah Melaka pada Sambutan Edisi ke-100 Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, kios khas itu juga berupaya menjadi satu lagi tarikan baharu untuk menggamit kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

Jelas beliau, ia sekali gus membantu dalam memperkenalkan produk Melaka di mata dunia.

“Ini kerana kita sedang bersedia menunggu pada 11 november ini seramai 4,000 pelancong pada setiap hari Isnin akan turun ke Melaka pada jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Pelancong ini datang melalui pelayaran kapal persiaran mewah ‘Genting Dream Cruise’ yang akan memilih Melaka sebagai destinasi untuk mereka bersama-sama mempromosikan Melaka pada tahun ini.

“Apabila ada kios khas ini, kita boleh bawa pelancong tersebut datang melihat produk tempatan Melaka yang boleh dibanggakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

77
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU LAHIR LEBIH RAMAI PENGUSAHA TEMBIKAI WANGI
Next post SUV TERBABAS, ENAM TERMASUK PELAJAR SEKOLAH CEDERA
Ubah saiz-+=