Melaka, Pahang sepakat perkasa pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

GADEK 1 Januari – Kerajaan Melaka dan Pahang menyatakan komitmen untuk bekerjasama bagi memperkasa serta memperhebatkan lagi promosi sektor pelancongan kedua-dua negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama itu secara tidak langsung akan memperkasakan lagi pelancongan domestik antara kedua-dua buah negeri.

Katanya, pelbagai produk menarik yang ada di kedua-dua negeri boleh diketengahkan menerusi kerjasama itu, sekali gus menarik kunjungan lebih ramai pelancong khusus sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya mahu pelancongan Melaka dan Pahang dipromosikan sebab langkah ini bukan sahaja mampu mempromosikan pelancongan negeri masing-masing bahkan ia adalah untuk memperkasa sektor pelancongan Malaysia,” katanya.

Ketua Menteri, berkata demikian ketika berucap pada Kejohanan Golf Persahabatan Melaka-Pahang-Pride berlangsung di A’Famosa Golf and Country Club, di sini, hari ini.

Kejohanan membabitkan 40 peserta itu turut disertai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, selain delegasi di antara kedua-dua Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Dr. Abdul Gapar Abu Bakar, Barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Pahang, serta tetamu jemputan.

Sementara itu Wan Rosdy berkata, kerjasama itu amat bertepatan dengan usaha untuk memastikan Melaka dan Pahang terus menjadi destinasi percutian pilihan serta menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

“Sempena TMM2024 kita bersama-sama mempromosikan Melaka dan Pahang menerusi pendekatan kalau pelancong datang ke Melaka mereka juga boleh singgah ke Pahang.

“Tarikan yang tidak ada di Pahang ada di Melaka dan begitulah sebaliknya. Saya harap kerjasama menguntungkan ini akan mengeratkan lagi hubungan antara Melaka dan Pahang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

739
Kongsi :
Previous post Tragedi sambut tahun baharu
Next post Zamani anak jati Alor Gajah ajak peminat bercuti ke Melaka
Ubah saiz-+=