Tragedi sambut tahun baharu

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 1 Januari – Seorang remaja maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal ketika pulang daripada meraikan sambutan Tahun Baharu 2024 di Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi, mangsa pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah, manakala seorang lagi penunggang motosikal merupakan pelajar Tingkatan 5 SMK Ayer Keroh tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal sedang berada di arah sama iaitu dari Jejambat Kota Cemerlang menuju ke lampu isyarat Taman Muzaffar Shah.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di lorong sebelah kiri tiba-tiba menukar laluan ke kanan mengakibatkan motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lagi motosikal yang berada di lorong kanan.

“Akibatnya, mangsa telah terbabas dan tercampak jatuh ke atas jalan raya, manakala penunggang sebuah lagi motosikal berjaya mengawal motosikalnya daripada terbabas.

“Impak kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

“Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Menurut Christopher, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut, namun tidak menolak kemungkinan kedua-dua kenderaan yang terlibat sedang berlumba.

“Polis telah merakam percakapan penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan itu dan kini masih mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9776
Kongsi :
Previous post Hamdan ditidurkan, Senario mohon doa peminat
Next post Melaka, Pahang sepakat perkasa pelancongan
Ubah saiz-+=