Melaka pelawa pelabur terlibat dalam M-WEZ – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SARAJEVO 11 Mei – Kerajaan negeri mempelawa pelabur antarabangsa untuk terlibat sama dalam Projek Pembangunan Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka (M-WEZ) yang bakal direalisasikan di negeri ini.

EXCO Kanan Perindustrian dan Pelaburan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, M-WEZ yang berteras pembangunan berasaskan pelancongan itu bakal menjadi pemangkin utama ekonomi di Negeri Melaka yang mengekalkan konsep pembangunan bersepadu di kawasan tambakan laut.

“M-WEZ pembangunan berasaskan pelancongan Melaka yang mengintegrasikan pelbagai komponen pembangunan ekonomi seperti pelancongan antarabangsa dan gaya hidup komersial.

“Selain itu, pembangunan itu turut mengadaptasi konsep Bandar Pintar dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), Hab Logistik Marin dan menyediakan pusat kebudayaan gaya hidup moden.

“Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menjemput mana-mana pelabur yang berminat untuk melihat projek yang berpotensi ini dan kami bersedia untuk membantu sebarang pertanyaan dan bantuan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Ke-11- Forum Perniagaan Sarajevo 2022 ‘Nearshoring Perspectives For The Region’ di Bangunan Parlimen Negara Sarajevo, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Malaysia khususnya Negeri Melaka mempunyai kekayaan peninggalan warisan dan budaya yang mampu memacu pelancongan.

“Bukan hanya mempunyai penduduk berbilang bangsa, bahasa dan budaya, sektor pelancongan juga boleh memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup, dan menjaga alam sekitar dan budaya.

“Sekali lagi, saya menjemput mereka yang berminat untuk meneroka peluang pelancongan perniagaan di Malaysia dan Melaka menjadi salah satu rakan kongsi strategik dan pelabur kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

775
Kongsi :
Previous post Teroka potensi perniagaan, pelaburan global di Eropah Tenggara – Ab Rauf
Next post Pencemaran sungai Ngulang, operasi sebuah kilang dihentikan
Ubah saiz-+=