Melaka perintis laksana kajian tokoh di sebalik nama sekolah – Ketua Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 15 Mei – Melaka mengambil inisiatif menjadi perintis dalam kajian mengangkat nama sekolah berasaskan nama tokoh supaya penghayatan nilai sejarah dapat dizahirkan dalam kalangan guru dan pelajar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sebanyak 42 sekolah iaitu 29 daripadanya adalah sekolah menengah manakala 12 lagi adalah rendah , yang dikenal pasti berasaskan nama tokoh di Melaka.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah berbincang dengan Pengarah Pendidikan Negeri supaya sekolah-sekolah berkenaan menjalankan kajian dan penyelidikan di sebalik nama tokoh terbabit.

“Umpamanya, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah yang namanya diambil sempena nama Sultan Muzaffar Syah yang merupakan pemerintah kelima tersohor pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Jadi, saya yakin ramai yang tidak tahu siapakah Sultan Muzaffar Syah, malah ramai lagi (seperti) Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Mansur Syah, maka saya menggalakkan sekolah membuat kajian sendiri untuk mencari siapakah nama tokoh-tokoh ini,” katanya.

IMG_0967
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (empat dari kiri) hadir pada Majlis Makan Malam Anugerah Hari Guru 2023 Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata hasil kajian itu akan diberi penilaian serta sekolah yang berjaya menjalankan penyelidikan terperinci diberikan hadiah berjumlah RM5,000.

“Kajian ini terbuka kepada semua sekolah yang mempunyai nama tokoh yang dipaparkan sejak sekian lama.

“Ia (kajian) perlu diselesaikan tahun ini dan pada penghujung tahun nanti kita akan mengadakan anugerah di peringkat Negeri Melaka dan saya akan panjangkan kajian ini kepada Menteri Pendidikan untuk menjadi rujukan kepada nama-nama sekolah di seluruh Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4578
Kongsi :
Previous post Tiga guru Ketua Menteri diberi pengiktirafan Tokoh Hati
Next post Sanggup pergi rumah ke rumah pujuk anak murid datang sekolah
Ubah saiz-+=