Melaka pertingkat kualiti khidmat bas henti-henti

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

PENGKALAN BATU 3 Nov – Kerajaan negeri komited dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam di negeri ini demi kemudahan orang ramai.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, untuk itu, Panorama Melaka Sdn Bhd (Panorama) telah membeli 24 buah bas baharu menjadikan keseluruhan 43 buah bas yang mula beroperasi bulan ini dan akan bergerak dengan kapasiti maksima menjelang bulan depan.

Jumlah itu, katanya jauh melebihi bilangan ketika era pemerintahan terdahulu yang menyaksikan hanya 33 buah bas disediakan iaitu selepas 8 Mei 2018.

“Saya difahamkan sebanyak 24 buah bas telah dibeli bagi melayakkan Panorama memperoleh dana Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bas henti-henti untuk 17 laluan di seluruh Negeri Melaka.

“Untuk makluman semua, dana ini adalah daripada kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (APAD) dengan syarat perlu memiliki bas sendiri.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan proses pemerolehan dan sewa beli (hire purchase) telah mula dilaksanakan sejak penghujung tahun 2020 yang mana mulai bulan September 2021, Panorama telah mula menerima bas-bas baharu ini secara berperingkat dan akan lengkap sepenuhnya menjelang Disember nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bas Henti-henti Baharu dan Program Bas Penyayang bertempat di Melaka Sentral, hari ini.

Hadir sama, Exco Pengangkutan negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Panorama, Datuk Roslan Ahmad dan Pengurus Besar Panorama, Datuk Abu Bakar Abdul.

SULAIMAN

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam usaha menjaga kepentingan rakyat khususnya golongan B40, kerajaan negeri juga telah membatalkan pembelian saham Panorama oleh syarikat swasta yang dibuat kerajaan terdahulu.

Jelasnya, perkara itu dilakukan bagi membolehkan kerajaan negeri memantau dan menyelia pengurusan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini dengan lebih efektif.

“Saya yakin, perkhidmatan bas henti-henti ini bakal menjadi satu lagi titik permulaan yang positif yang mana ia adalah model perniagaan yang terbaik dan mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh APAD.

“Di samping itu, dalam memperkasakan kualiti perkhidmatan bas awam ini, kerajaan negeri melalui Panorama Melaka juga terlibat sama dalam ‘Smart Mobility’ yang terkandung di dalam Smart Melaka Blueprint 2035, dan Global Future Cities Program (GFCP) untuk pelaksanaan pelan induk Rangkaian Bas Hijau dan Pelan Mobiliti Bersepadu Bandar Warisan.

“Di sudut yang sama, usaha ini juga seiring dengan perancangan yang menyeluruh untuk Melaka dan meletakkan Panorama Melaka di satu tahap dan kelas yang sama seperti perkhidmatan bas awam di negara-negara maju,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2061
Kongsi :
Previous post Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan
Next post Dua kanak-kanak dalam kereta terkunci diselamatkan
Ubah saiz-+=