Melaka peruntuk RM100,000 pulihara ‘villa’ satu abad

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KOTA LAKSAMANA 13 April – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100,000 kepada Villa Sentosa di Kampung Morten bagi memelihara dan memulihara rumah bersejarah berusia 100 tahun itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan berbentuk ‘one-off’ akan disalurkan kepada pengurusan rumah berkenaan bertujuan untuk menambah baik daya tarikan di kawasan pelancongan itu.

Beliau berkata, Kerajaan Melaka akan memberi tumpuan dalam memperkasa industri pelancongan di kampung berkenaan, sekali gus berupaya meningkatkan taraf ekonomi penduduk kampung.

“Difahamkan lebih 200,000 pelancong telah berkunjung di rumah ini sejak ia dibuka dan lebih kurang 60 peratus adalah pelancong daripada Perancis dan pengkaji sejarah yang kagum dengan seni bina Melayu dan tradisi di kampung ini.

“Kita akan memberi perhatian mendalam dalam memperkasa pelancongan di kampung ini, di mana lokasinya di tengah bandar yang membangun terdapat sebuah perkampungan yang kaya dengan nilai sejarah.

“Bantuan one-off ini disalurkan sekali gus memberi nilai tambah kepada pengurusan Villa Sentosa untuk menambah baik rumah ini dengan pelbagai tarikan untuk menggamit pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Ke-100 Tahun Villa Sentosa, Kampung Morten, di sini, hari ini.

Img 20240413 151747 574
YANG di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam ketika upacara perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Villa Sentosa di Kampung Morten, Melaka. Turut bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sambutan itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yakin perkembangan sektor pelancongan di kampung berkenaan telah banyak membawa perubahan ekonomi kepada penduduk terutama dalam bidang perniagaan kecil-kecilan.

Malah, Ketua Menteri akan komited memastikan kebersihan di kampung berkenaan diselenggarakan dengan baik.

“Kita lihat ‘people’s economy’ di kampung ini membawa satu limpahan manfaat buat penduduk kampung kerana banyak gerai jualan dibuka dan menjadikan kawasan ini sebagai tarikan pelancongan di sebelah malam.

“Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memberi perhatian dengan memantau kebersihan bagi memelihara Kampung Morten morten sebagai antara tarikan pelancongan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

297
Kongsi :
Previous post Aliran trafik tinggi, perlahan susulan perantau mula pulang ke ibu kota
Next post Ramadan, Syawal di Melaka sungguh meriah
Ubah saiz-+=