Melaka promosi TMM2024 di China

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 27 November – Kempen promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan terus diperhebatkan menerusi siri jelajah ke China, minggu depan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, beberapa kawasan akan dilawati dalam mempromosikan pakej-pakej pelancongan menarik di Melaka untuk pelancong dari Tembok Besar China itu.

“Alhamdulillah, kita telah mendapatkan kerjasama daripada Kedutaan Malaysia di Negara China untuk mempromosikan TMM2024.

“Insya-Allah minggu hadapan kita akan pergiatkan lagi dan akan bersama dengan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka untuk ke beberapa lokasi di China untuk mempromosikan pakej pelancongan kita.

“Selain mempromosi TMM2024, ia juga mampu menjadi kayu pengukur untuk membantu kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India mulai 1 Disember ini.

Menurutnya, keputusan itu berketepatan dan diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini TMM2024.

“Saya yakin dengan pengecualian visa kepada kedua negara ini ia akan menyumbang kepada sasaran kita untuk merekodkan jumlah kedatangan pelancong sekitar 15 hingga 18 juta orang pada tahun hadapan.

“Ini merupakan salah satu inisiatif yang membanggakan dalam sektor pelancongan dan yakin pelancong-pelancong daripada China dan India ini akan membanjiri Melaka memeriahkan TMM2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

669
Kongsi :
Previous post Platform digital ‘Melaka Super App’ akan dibangunkan
Next post 4,724 ahli JPKK, JPKKB dan sidang Melaka terima tambahan elaun
Ubah saiz-+=