Melaka rekod 215 individu positif dadah sepanjang PKP

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 21 Sept. – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka telah melakukan 246 tangkapan membabitkan penyalahgunaan dan penagihan dadah dalam operasi khas yang diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah AADK Melaka Nazir Mohamad berkata daripada jumlah tersebut 215 daripadanya didapati positif dadah dan telah ditahan.

Jelasnya, Daerah Melaka Tengah mencatat tangkapan tertinggi dengan 122 tangkapan, diikuti Alor Gajah sebanyak 103 dan Jasin 17 tangkapan yang mana majoritinya melibatkan dadah jenis syabu dan heroin.

Menurutnya, operasi khas itu dilakukan selepas menerima aduan daripada ahli keluarga berhubung salah laku berkenaan sepanjang tempoh April hingga Jun 2020.

Ujarnya, walaupun berdepan risiko Covid-19 sepanjang tempoh berkenaan, namun pihaknya terpaksa bertindak melalui aduan berkenaan untuk mengelakkan berlakunya sebarang keganasan domestik terhadap ahli keluarga pengadu.

“Kebanyakannya memang kita tangkap di rumah selepas dihubungi ahli keluarga menerusi talian hotline AADK. Kebanyakan ahli keluarga menghubungi kami kerana tidak tahan apabila melihat suami atau anak terlalu asyik menghisap dadah sepanjang berada di rumah.

“Jadi, mahu atau tidak mahu, kami terpaksa turun padang kerana kita tidak mahu berlakunya sebarang penderaan fizikal atau seksual berlaku dalam tempoh itu.

“Walaupun dalam tempoh penularan pandemik Covid-19, kita ambil risiko dan mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk menangkap mereka yang terlibat dengan dadah di Melaka sepanjang PKP,” katanya dalam satu wawancara khas bersama media di pejabatnya.

Nazir berkata, pihaknya bagaimanapun tidak memberi jawapan yang pasti dari mana bekalan dadah itu diperolehi sepanjang tempoh PKP walaupun sempadan antara negeri dan negara sudah ditutup.

“Kita tidak tahu bagaimana mereka mendapat stok. Adakah melalui proses tempahan atau lain-lain. Itu yang masih menjadi persoalan sehingga kini.

“Apa pun, kita berharap, sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai penyalahgunaan atau penagihan dadah di kawasan masing-masing untuk menghubungi hotline kami di talian 03-89112424 atau 019-6262233,” ujarnya.

Views:

481
Kongsi :
Previous post DMDI International Education dan GeoMatika University College jalin kerjasama
Next post Melaka River Cruise rekod 80,000 pengunjung pada Ogos
Ubah saiz-+=