Melaka rekod GPN SPM terbaik dalam tempoh 10 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TELOK MAS 8 Jun – Seramai 243 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Melaka memperoleh gred cemerlang A dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada SPM 2022.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Ghazali Ahmad berkata, daripada 10, 776 pelajar Sekolah Kementerian Pendidikan di Melaka, seramai 10, 151 calon atau 94.2 peratus berjaya mendapat sijil.

“Daripada keseluruhan calon itu seramai 243 calon mendapat gred cemerlang A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran diduduki.

“Malah dalam kalangan itu, seramai sembilan orang berjaya mencapai gred Cemerlang Tertinggi (A+) dan ini menunjukkan peningkatan berbanding 2021 dengan hanya dua orang,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, hari ini.

photo_2023-06-08_12-40-16
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Ghazali Ahmad bersama calon SPM yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang sempena Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya juga, pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) Melaka juga adalah lebih baik dengan 0.06 dengan merekodkan 4.77 berbanding 4.83 tahun lalu.

“Dalam tempoh 10 tahun kita tidak pernah ke situ (4.77) maksudnya keputusan kita lebih baik dari tahun ke tahun, kalau ikutkan sasaran kita (GPN) 4.81 namun tidak berani juga kerana anak-anak SPM ini semasa tingkatan tiga, COVID-19 tengah kuat.

“Tetapi dengan kerjasama semua pihak terutamanya Kerajaan Negeri Melaka dan juga guru akhirnya ia dapat dicapai.

“Malah semua sekolah di Melaka turut mencatat GPS (Gred Purata Sekolah) lebih baik daripada 6.40 dan ini menggambarkan Jabatan Pendidikan Negeri melaksanakan tugas dengan baik selain ia membantu peningkatan pencapaian GPN,” katanya.

Ujar beliau, bagi tujuh mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains pula kesemua mencatatkan peratus lulus melebihi 77 peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10723
Kongsi :
Previous post Malaysia kecam tindakan pelawak Singapura perlekeh Malaysia, persenda tragedi
Next post Penyeleweng diesel bersubsidi makin licik!
Ubah saiz-+=