Melaka River Cruise ditutup, paras sungai deras

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 21 Okt – Perkhidmatan bot pelancongan Melaka River Cruise (MRC) masih belum boleh dibuka kepada orang ramai hari ini disebabkan kesukaran mengalih pokok tumbang di bebarapa tempat dalam kejadian hujan lebat selama empat jam semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Datuk Murad Husin berkata, kerja-kerja mengalih pokok tumbang dan pembersihan sampah sarap perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan arus banjir mengalir.

Bagaimanapun, menurutnya, kerja-kerja tersebut terutama mengalih pokok tumbang sukar dilakukan berikutan paras serta arus air yang agak deras dikhuatiri mengancam keselamatan petugas pembersihan.

SEKITAR keadaan banjir di Melaka semalam

“Pihak saya sudah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) malam tadi untuk mengalih dan memotong pokok-pokok yang tumbang pagi ini namun kerja-kerja tidak dapat dilakukan kerana paras air masih tinggi.

“Terpaksa tunggu air surut barulah boleh dijalankan kerja-kerja mengeluarkan pokok yang tumbang dan pembersihan sampah sarap dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Menurut Murad, penutupan sementara MRC ekoran hujan lebat selama empat jam itu adalah yang pertama sejak beroperasi semula bermula 1 Oktober lalu.

Jelas beliau, setelah selesai kerja-kerja pembersihan sampah sarap dan air mulai surut, pihaknya perlu melakukan pemeriksaan pada bahagian laluan bot atau outlet bagi memastikan ia selamat.

SEKITAR keadaan banjir di Melaka semalam

“Laluan sungai perlu dipastikan selamat terlebih dahulu sebelum bot dibenarkan melaluinya kerana jika kita tidak berjaga-jaga dalam soal ini, kita bimbang ia akan mengundang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Kita tunggu paras air turun kepada 1.1 meter barulah bot boleh melalui jambatan dan perkhidmatan MRC boleh beroperasi semula, jika cuaca baik atau tiada halangan lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sukar untuk menjangkakan tempoh sebenar MRC boleh beroperasi semula disebabkan ia masih bergantung kepada kecepatan paras air surut dan faktor cuaca hari ini dan esok.

MHI difahamkan ketika ini paras air Sungai Melaka setakat ini mencecah mencecah 1.30 meter berbanding paras normal normal 1.2 meter.

Sejak dibuka kepada orang ramai 1 Oktober lalu, MRC mencatatkan seramai 10,000 pengunjung dalam tempoh 14 hari dengan sasaran 200,000 pengunjung sepanjang tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1157
Kongsi :
Previous post Anggota bomba dibawa arus meninggal dunia
Next post Muhyiddin pilih Melaka negeri kedua adakan sesi dialog
Ubah saiz-+=