Anggota bomba dibawa arus meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 21 Okt. – Anggota bomba yang kritikal selepas dibawa arus deras ketika membantu mangsa banjir di Sungai Putat semalam disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain dalam satu kenyataan berkata, mangsa Mohd Diya Che Jusoh, 46 telah meninggal  dunia pada jam 3.11 pagi tadi di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

“Mangsa yang juga merupakan anggota Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang terlibat dalam kejadian lemas di Sungai Putat, Melaka telah meninggal dunia pada jam 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

“Warga Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita di atas insiden tersebut,” katanya.

Tambahnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, jam 10 pagi ini.

Sementara itu, menurut jurucakap bomba memberitahu, laporan bedah siasat punca kematian masih belum di keluarkan pihak hospital dan turut diberitahu ahli keluarga arwah Mohd Diya dalam perjalanan ke Melaka dari Kelantan.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, anggota bomba berusia 46 tahun itu nyaris lemas selepas terperangkap dalam arus deras.

Ketika kejadian, anggota bomba lelaki terbabit dipercayai memasang tali bersama rakan sepasukan untuk menyelamatkan mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, arus sungai terlalu deras mengakibatkan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum badannya tersembam ke dalam air.

 

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: UMNO belum putuskan kerjasama dengan parti lain – Mohamad Hasan
Next post Melaka River Cruise ditutup, paras sungai deras
Ubah saiz-+=