Sorting by

×

MELAKA RUMAHKU BINA, BAIK PULIH 136 RUMAH RAKYAT MEMERLUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TANJUNG BIDARA 25 April – Sejak diperkenalkan pada 2023, Program Melaka Rumahku (PMR) telah meluluskan sebanyak 136 projek bina baharu dan baik pulih rumah untuk rakyat memerlukan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia membabitkan peruntukan berjumlah RM6.1 juta, merangkumi RM4.1 juta bagi bina baharu 66 unit rumah dan RM2 juta lagi baik baik pulih 70 buah rumah.

Jelas beliau, program itu merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kerajaan Negeri Melaka melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bagi membantu meringankan beban mereka kurang bernasib baik untuk mendiami rumah lebih selesa.

“PMR ini membabitkan peruntukan tahunan berjumlah RM3 juta yang terbahagi kepada dua, iaitu PMR Bina Baharu sebanyak RM2 juta dan PMR Baik Pulih RM1 juta.

“Melihat kepada manfaatnya yang besar kepada rakyat, peruntukan bagi PMR telah dinaikkan kepada RM5 juta pada tahun ini, dengan pecahan sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan bina baharu dan RM2 juta bagi kerja-kerja baik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Penyerahan Rumah Bina Baharu Program Melaka Rumahku Lembaga Perumahan Melaka di Batu 21, Kampung Solok Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara sahaja, sebanyak dua projek bina baharu dan enam baik pulih rumah telah diluluskan setakat 2023 hingga 2026.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara memaklumkan, ia membabitkan peruntukan berjumlah RM180,500 merangkumi RM140,000 projek bina baharu dan RM40,500 bagi baik pulih.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan LPM dalam memastikan setiap rakyat berpeluang menikmati kediaman yang sempurna, selaras dengan agenda kesejahteraan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post MELAKA TUBUH ‘TASK FORCE’ KESELAMATAN AIR
Next post PINGAT PANGLIMA AWANG IKTIRAF PELAJAR CEMERLANG AKADEMI LAUT