Melaka sambut ambang tahun baharu 2021 penuh kesyukuran

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Jan. – Tiada percikan bunga api mahupun acara hiburan berskala besar menyeri kemeriahan sambutan ambang tahun baharu 2021 peringkat negeri Melaka tahun ini.

Sebaliknya, sambutan dalam norma baharu diadakan secara sederhana iaitu dengan alunan ayat suci al-Quran serta persembahan berbentuk kerohanian.

Bermula 6.30 petang lagi, majlis sambutan penuh kesyukuran itu sudah dimulakan di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini.

Majlis bermula dengan solat Maghrib diikuti dengan solat sunat hajat, bacaan surah Yasin berserta tahlil doa selamat seterusnya solat Isyak secara berjemaah.

PERSEMBAHAN kerohanian antara penyeri majlis sambutan ambang tahun baharu Melaka 2021.

Ia kemudiannya diikuti tazkirah berkisar cabaran menghadapi pandemik COVID-19 yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Al Azim Datuk Muhammad Hashim.

Acara itu diteruskan dengan persembahan kerohanian dan muzik asli oleh Briged Seni Melaka sebelum Institut Seni Warisan Melaka (INSWA) mengambil alih dengan persembahan nazam dan nasyid.

Sambutan ambang tahun baru kali ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Ia turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron.

Dalam majlis sama, Muhammad Jailani turut mengumumkan kalender acara pelancongan Melaka 2021 berserta pelancaran kempen promosi Lazada 2021.

Views:

652
Kongsi :
Previous post MKN benarkan pelajar tempatan kembali ke kampus mulai 1 Mac 2021
Next post Melaka sedia 115 acara pelancongan menarik sepanjang 2021
Ubah saiz-+=