Melaka sedia 115 acara pelancongan menarik sepanjang 2021

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Jan. – Kerajaan negeri menyediakan sebanyak 115 acara pelancongan yang diyakini mampu merancakkan kembali sektor pelancongan negeri ini pada 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, daripada jumlah itu 14 daripadanya merupakan acara pelancongan utama yang disediakan bertaraf antarabangsa bermula Januari hingga Disember tahun ini.

Menurutnya, acara pelancongan utama itu dimulakan dengan Chinese New Year Festival pada 29 Januari hingga 26 Februari dan diakhiri dengan Melaka Fiesta pada 30 dan 31 Disember nanti.

“Selain itu, kita turut menyediakan Melaka Food Fiesta pada 26 hingga 28 Februari, Melaka Dutch Week (6 Mac), Raptor Watch 2021 (13-14 Mac), Karnival Warisan Kita 2021 (26-28 Mac) serta Pesta Bunga Melaka pada 26 Mac hingga 4 April.

“Acara lain yang turut disediakan ialah The 18th Anniversary of Hostoric Melaka City Council pada 15 April, Fiesta San Pedro (26-28 Jun), 13th Anniversary of UNESCO World Heritage City Celebration (10 Julai), Melaka International Air Carnival – KUAM (24-26 September) serta Melaka By The Sea Carnival 2021 pada 30 dan 31 Oktober, selain pelbagai lagi acara-acara lain menarik menanti pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2021 & Pelancaran Kalender Acara Pelancongan 2021, di Auditorium Masjid Al Azim.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron.

Dalam pada itu, Muhammad Jailani memaklumkan kerajaan negeri menetapkan sasaran 6.2 juta pelancong akan hadir ke Melaka pada 2021 melalui pelbagai acara yang telah disediakan.

Walaupun secara relatifnya sasaran itu dilihat cukup mencabar untuk dicapai sepanjang musim pandemik COVID-19, namun beliau percaya dengan segala perancangan dan pelbagai pendekatan baharu, selain kerjasama semua pihak mampu merealisasikannya.

Dalam majlis sama, Muhammad Jailani turut mengumumkan kerjasama bersama platform e-dagang terkemuka dunia, Lazada bagi menjalin perkongsian eksklusif dengan penggiat industri pelancongan Melaka untuk merangsang industri pelancongan negeri ini dan pada masa sama menyokong produk tempatan dalam tempoh-tempoh sukar ini.

Menurutnya, hasil jalinan kerjasama yang diwujudkan itu, pihak Lazada Malaysia turut menyuarakan kesediaan untuk mengenepikan yuran ‘onboarding’ dan ‘listing’ kepada 550 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi melonggarkan syarat masuk ke platform e-dagang itu, selain turut memberikan panduan dan latihan kepada para usahawan.

Views:

482
Kongsi :
Previous post Melaka sambut ambang tahun baharu 2021 penuh kesyukuran
Next post Alunan selawat pembuka tirai 2021
Ubah saiz-+=