Melaka sambut baik program mahasiswa bersama komuniti

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Mei – Kerajaan Negeri menyambut baik penganjuran program membabitkan pelajar universiti bersama komuniti masyarakat kerana ia memberi peluang untuk mereka menyelami kehidupan harian penduduk yang sudah berubah dibawa arus teknologi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tidak semua pelajar mempunyai peluang untuk bersama-sama dengan komuniti masyarakat dan menabur bakti.

“Menerusi program ini ia memberi ruang kepada pelajar untuk melihat bagaimana orang kampung khususnya menjalani kehidupan harian dengan dunia yang lebih canggih.

“Kehidupan sekarang sudah berubah dan lebih sistematik malah cabaran juga tidak sama seperti zaman saya dahulu. Jadi saya amat menghargai usaha ini kerana tidak semua orang boleh buat.

“Justeru itu, Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif penganjuran program seumpama ini sebagai pendedahan dan peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi mengadakan pelbagai program khususnya melibatkan komuniti masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Program Jalinan Kasih Siswa Berjasa – Bakti Siswa 6.0 23/24 anjuran Perkumpulan Anak-Anak Negeri Melaka (PURNAMA), di Masjid Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu.

Ab Rauf berkata, program seumpamanya juga secara tidak langsung memberi peluang kepada Kerajaan Negeri mendengar dan bertukar pandangan dengan anak muda.

“Saya tertarik dengan program anak angkat sebegini malah percaya menerusi program ini ia dapat membuka ruang anak mahasiswa memperkukuh hubungan silaturahim dan dapat mempelajari ilmu baharu dalam ekosistem kehidupan bermasyarakat.

“Kerajaan Negeri Melaka juga sentiasa terbuka untuk mendengar pendapat dan pandangan orang muda terutamanya dalam aspek mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

173
Kongsi :
Previous post Pelajar USM teruja jumpa Ketua Menteri ‘sempoi’
Next post 30 kios baharu MPAG lebih tersusun, mesra peniaga
Ubah saiz-+=