Melaka sasar 700,000 pengunjung muzium tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DUYONG 22 September – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menyasarkan seramai 700,000 pengunjung melawati muzium di negeri ini pada tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim Datuk Zaidi Attan berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan penganjuran pelbagai aktiviti, selain promosi dan pakej pelancongan yang ditawarkan.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri turut menyifatkan program seumpama ‘Bermalam di Muzium’ sebagai antara medium terbaik memupuk minat rakyat terutama golongan muda datang ke muzium dan mencintai sejarah.

“Pada tahun 2022 jumlah keseluruhan pelawat ke muzium adalah seramai 471,018 orang berbanding 181,592 orang pada tahun sebelumnya, sekali gus merekodkan peningkatan 159.38 peratus.

“Saya yakin Perzim akan mencapai sasaran yang ditetapkan sekali gus menjadi antara destinasi paling ramai pelawat dalam membantu merealisasikan sasaran 8.4 juta pelancong tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Bermalam di Muzium di Muzium Hang Tuah, di sini, semalam.

Terdahulu, program Bermalam di Muzium itu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim Datuk Akramuddin Ab Aziz.

Program tersebut disertai seramai 203 pelajar dari tujuh buah sekolah menengah di Negeri Melaka bertujuan memupuk apresiasi yang tinggi terhadap warisan sejarah, seni dan budaya negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

941
Kongsi :
Previous post 30 ODP bersihkan Makam Hang Tuah
Next post TMM2024: Perzim bakal kembalikan peristiwa 20 Februari 1956
Ubah saiz-+=