Sorting by

×

MELAKA SASAR ANJUR LEBIH 1,000 JUALAN RAHMAH

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KESIDANG 2 Mei – Melaka menyasarkan lebih 1,000 Program Jualan Rahmah akan dianjurkan di seluruh negeri tahun ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, sasaran itu ditetapkan bagi membolehkan lebih rakyat menikmati manfaat menerusi program yang menawarkan diskaun lebih 30 peratus ke atas pelbagai barangan asas itu.

Jelas beliau, setakat Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 296 program Jualan Rahmah telah dianjurkan di pelbagai lokasi melibatkan tiga daerah di seluruh negeri ini.

“Ini bermakna hampir 100 program telah diadakan setiap bulan dan dalam tempoh setahun ia boleh menjangkau lebih 1,000 program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Model Jualan Rahmah di Negeri Melaka bukan sahaja diadakan di luar premis, tetapi juga di dalam premis seperti pasar raya, selain secara bergerak.

“Selain jualan murah, menerusi program itu juga kita turut menyelitkan aktiviti berkaitan kepenggunaan bagi memberi maklumat kepada orang ramai menjadi seorang pengguna bijak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim, di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri itu, Allex menyifatkannya sebagai medan memperkukuhkan semangat perpaduan di Negeri Melaka apabila ia dihadiri masyarakat berbilang kaum bukan sahaja dalam kawasan DUN Kesidang, tetapi seluruh negeri.

Beliau berharap program tersebut dapat diteruskan setiap tahun bagi memastikan kemakmuran dan keharmonian yang terjalin di negeri ini kekal terpelihara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post AHLI DEWAN BELIA MELAKA BANTU RINGANKAN BEBAN WAKIL RAKYAT
Next post WRUR DUN SUNGAI UDANG HARAP ‘LERAI’ PENANTIAN LEBIH 20 TAHUN