Melaka sebulat suara lulus Bajet 2023

SERI NEGERI 14 Disember – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebulat suara meluluskan Bajet 2023 Negeri Melaka pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Bertemakan ‘Teguh Bersama Makmur Melaka: Memulih Ekonomi, Memperingat Akujanji, Mensejahtera Rakyat’, bajet itu telah dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada 12 Disember lalu.

Bajet inklusif kali ini menumpukan kepada agenda utama iaitu Mensejahtera Sosio-Ekonomi Rakyat; Memulih Menuju Kemampanan Ekonomi; dan Mempercekap Perkhidmatan Awam.

Dalam undian selepas ucapan penggulungan bajet tersebut, ia telah mendapat sokongan daripada seramai 26 ahli termasuk barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerajaan Perpaduan dari Pakatan Harapan (PH) dan Adun Bukan Kerajaan dari Perikatan Nasional (PN), manakala dua tidak hadir.

Bajet 2023 Negeri Melaka diangkat sebagai bajet inklusif berteraskan ‘no one is left behind’ yang telah dicerakinkan kepada 11 fokus utama selari dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).

Bajet kali ini juga menyediakan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat demi kesejahteraan semua golongan masyarakat tanpa ada yang terkecuali atau tertinggal.

Untuk kali ke-19 berturut-turut, bajet kali ini turut dicatatkan sebagai bajet surplus atau bajet lebihan dengan memperuntukkan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM455.43 juta dan jangkaan kutipan hasil berjumlah RM455.55 juta.

Menurut Sulaiman, perbelanjaan mengurus itu merangkumi Maksud Tanggungan dianggarkan RM11.56 juta, manakala bagi Maksud Bekalan dengan anggarannya RM443.86 juta.

Manakala perbelanjaan pembangunan pula memperuntukkan sebanyak RM82 juta dengan pecahan RM58.36 juta merupakan hasil negeri, RM23.64 juta sebagai pemberian Geran TAHAP oleh Kerajaan Persekutuan dan dan token sebanyak RM20 pindahan daripada Akaun Pinjaman Disatukan.

Terdahulu, seramai 10 Adun telah diberi peluang berbahas sempena pembentangan Bajet 2023 Negeri Melaka.

Menurut Sulaiman, selepas setahun mentadbir Negeri Melaka sebaik diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 November tahun lalu, Kerajaan Negeri telah menunaikan 100 peratus aku janji manifestonya berdasarkan sistem Melaka Laksana sehingga 2 Disember lalu.

Bagi aku janji satu tahun Kerajaan Melaka pula telah mencapai lebih 90 peratus yang mana perinciannya akan diumumkan pada 19 Disember ini.

Sulaiman dalam ucapannya turut menzahirkan harapan agar semua pihak dapat menggembeleng kekuatan baik di pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan ahar dapat berganding bahu dan mencari titik-tik persamaan demi kemajuan bersama.

“Atas nama perpaduan, sebab itulah saya maksudkan dalam pembentangan Bajet 2023 Negeri Melaka dengan membacakan membacakan pepatah Jawa, “Wani Ngalah Luhur Wakesane”, yakni beranilah bertoleransi, demi kepentingan bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1175
Previous post Bomba selamatkan warga emas terperangkap dalam lori akibat banjir
Next post FAM turunkan lagi harga tiket aksi Piala AFF