Melaka sedia jadi ‘kilang’ bakat bola sepak

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 31 Mac – Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) memberi bayangan sudah bersedia untuk menjadi antara ‘pengeluar’ bakat bola sepak di negara ini dalam tempoh 10 tahun lagi.

Naib Presidennya Noor Azman Rahman berkata, bagi merealisasikan hasrat itu langkah pertama dilakukan dengan mengadakan Bengkel Hala Tuju Pembangunan Bola Sepak Melaka (M:10) di Hotel Hatten, baru-baru ini.

Katanya, menerusi bengkel itu tiga kerangka pembangunan bola sepak diperkenalkan dan bakal diberi penekanan iaitu pembangunan bola sepak belia, pembangunan bola sepak akar umbi serta pembangunan jurulatih.

“Seperti contoh, pembangunan jurulatih adalah saranan Presiden MUSA, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang mahu Melaka melahirkan lebih ramai bakat muda jurulatih bertauliah.

“Jadi kita menyahut saranan itu dengan mengadakan pelbagai kursus akar umbi serta kursus-kursus bagi mendapatkan lesen kejurulatihan di pelbagai peringkat ketika ini.

“Untuk pembangunan bola sepak belia dan tunas pula kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menganjurkan lebih pertandingan daripada bawah 18 tahun, 16 tahun, 14 tahun serta 12 tahun,” katanya dalam sidang media pelancaran Bengkel Hala Tuju Pembangunan Bola Sepak Melaka (M:10) yang turut dihadiri Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia Datuk Ong Kim Swee.

Noor Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia MUSA berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan pihak swasta serta agensi berkaitan kerajaan (GLC) bagi menjayakan M:10 yang sedang dirangka itu.

“Kekangan kita ketika ini ialah dari segi tajaan. Justeru, kita menyeru pihak swasta dan GLC untuk menggembeleng tenaga bersama pihak MUSA untuk membangunkan industri bola sepak di negeri ini.

“Mudah-mudahan dengan kerjasama yang diberi kita dapat meningkatkan fasiliti bola sepak di negeri ini sebagai platform untuk kita merencanakan perancangan 10 tahun ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post MPAG tetapkan penjarakan 1.5 meter buat bazar Ramadan dan Aidilfitri
Next post Produk inovasi UTeM rangkul 20 pingat & dua anugerah khas
Ubah saiz-+=