MPAG tetapkan penjarakan 1.5 meter buat bazar Ramadan dan Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 31 Mac – Penjarakan 1.5 meter di antara gerai Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri yang beroperasi dalam daerah Alor Gajah antara pendekatan diambil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mencegah jangkitan COVID-19.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Mohd Fadhil Hassan berkata, langkah itu juga sekali gus memberi ruang kepada pengunjung beratur mengikut penjarakan yang sesuai untuk mendapatkan barangan yang diperlukan di sepanjang gerai yang beroperasi sepanjang Ramadan nanti.

Jelasnya, bagi mematuhi SOP dan membendung penularan pandemik COVID-19 pihaknya terpaksa mengurangkan kuota gerai di setiap tapak bazar yang diluluskan dalam kawasan terbabit.

“Kita terpaksa laksanakannya bagi memastikan kepadatan pengunjung mampu dikurangkan dalam sesuatu masa di sepanjang ia beroperasi yang dijadualkan sekitar 2 petang hingga 7 malam.

“Pengurangan operasi gerai ini diambil kira, contohnya jika sesebuah tapak berkapasiti 150 gerai, kita kurangkan kepada 130 gerai.

“Selain itu, bagi memastikan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri terkawal, khidmat pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan digunakan dan turut menyediakan laluan khas bagi keluar dan masuk di setiap lokasi yang diluluskan MPAG,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada masa sama ujarnya, bagi melancarkan operasi pembukaan gerai satu perjumpaan dengan peniaga akan diadakan minggu ini menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita akan memberi taklimat kepada mereka berkaitan pematuhan SOP kerana tidak mahu ada sebarang individu akan dikompaun sepanjang ia beroperasi.

“Malah, paling utama peniaga juga perlu diberi kesedaran bagi menjaga kebersihan termasuk dalam penyediaan makanan dan persekitaran bagi memastikan pengunjung kekal selamat dalam urusan jual beli di kawasan terlibat,” katanya.

Mohd Fadhil berkata, setakat ini sebanyak 13 lokasi diluluskan dan sudah dipenuhi peniaga dalam kawasan Alor Gajah dengan pecahan 10 lokasi bazar Ramadan dan tiga lokasi bazar Aidilfitri.

“Lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di Masjid Tanah antara lokasi terbesar dalam penganjuran tahun ini dengan 150 gerai bazar Ramadan di bandar Masjid Tanah dan 100 bazar Aidilfitri di Taman Bandar Baru Masjid Tanah.

“Bazar Ramadan juga dibuka di kawasan parkir Pasar Alor Gajah dengan 100 gerai, Taman Kuala Jaya (100), Kuala Sungai Baru dan lokasi berikutnya (tidak melebihi 50 gerai).

“Bagi bazar Aidilfitri sebanyak 120 gerai akan dibuka di Taman Sungai Petai Permai 2, Alor Gajah dan 30 gerai di Taman Satelit Pulau Sebang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post Operasi bazar Ramadan Jasin guna sistem nombor giliran
Next post Melaka sedia jadi ‘kilang’ bakat bola sepak
Ubah saiz-+=