Operasi bazar Ramadan Jasin guna sistem nombor giliran

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 31 Mac – Sistem nombor giliran akan diguna pakai bagi setiap pengunjung bazar Ramadan yang beroperasi di Daerah Jasin tidak lama lagi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Datin Sapiah Haron berkata, pendekatan itu antara cadangan yang akan dilaksanakan pihaknya bagi memastikan pengunjung kekal mengamalkan penjarakan fizikal dan langkah pencegahan yang lain bagi membendung pandemik COVID-19.

Jelasnya, langkah itu diyakini dapat mengelakkan setiap bazar Ramadan di daerah itu berdepan masalah kepadatan pengunjung pada waktu puncak.

“Dengan sistem ini kita akan mengawal kemasukan orang ramai ke bazar Ramadan. Contohnya, jika sesebuah lokasi pasar itu mempunyai 170 tapak gerai, mungkin kita akan benarkan 100 pengunjung masuk dahulu bagi membeli barangan mereka.

“Penganjuran bazar Ramadan buat kali pertama dalam pasca penularan COVID-19 ini perlu dipandang serius bagi mengelakkan penularan berlaku dan tiada kompromi buat mana-mana individu yang melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini sambutan menggalakkan diterima dalam kalangan peniaga bagi menyertai bazar Ramadan yang beroperasi dari 3 petang hingga 8 malam di daerah itu.

Bagaimanapun katanya, menerusi penganjuran di bawah MPJ tiada bazar Ramadan yang menjual pakaian dan kelengkapan sempena perayaan akan beroperasi di daerah Jasin.

“Apapun kita menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengeluarkan SOP yang ditetapkan kelak dan setakat ini kita hanya membuka 12 lokasi pasar Ramadan sahaja di daerah ini.

“Satu perjumpaan membabitkan peniaga dan penganjur akan diadakan minggu hadapan bagi memberi pencerahan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Sesi taklimat itu akan memastikan setiap SOP terutama penjarakan fizikal dan beberapa arahan MKN perlu dipatuhi bagi mengelakkan daripada diambil tindakan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, daripada 12 lokasi bazar Ramadan itu, Stadium Jasin adalah lokasi terbesar dengan 100 tapak gerai, diikuti Bandar Baru Merlimau (95 tapak) dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai (60 tapak).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

642
Kongsi :
Previous post Tergamaknya! pasangan kekasih ditahan disyaki buang bayi
Next post MPAG tetapkan penjarakan 1.5 meter buat bazar Ramadan dan Aidilfitri
Ubah saiz-+=