MELAKA SMART PARKING LEBIH MUDAH, EFISIEN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KLEBANG 28 September – Melaka Smart Parking bakal menjadi aplikasi pintar baharu yang diperkenalkan bagi menyelaras sistem pembayaran parkir melibatkan empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, aplikasi itu bakal bermula pada 2 Oktober ini, sekali gus menggantikan SVP Smart Parking Melaka yang diperkenalkan sebelum ini.

Beliau memaklumkan, menerusi satu sistem bersepadu, ia lebih memudahkan orang ramai dan pelancong untuk meletak kenderaan di petak parkir yang disediakan tanpa perlu menggunakan pelbagai aplikasi berbeza.

Tambahnya, pengguna aplikasi lama juga tidak perlu bimbang terhadap baki kredit mereka kerana ia secara automatik akan dipindahkan ke aplikasi baharu selepas mendaftar di Melaka Smart Parking dengan menggunakan ID sedia ada yang telah berdaftar.

“Aplikasi baharu ini kita perkenalkan untuk menyelaras kesemua sistem pembayaran parkir melibatkan kesemua empat PBT di negeri ini.

“Sebelum ini, sistem pembayaran parkir milik PBT berbeza-beza, jadi kita satukan semua dalam satu aplikasi pintar baharu yang dapat memudahkan rakyat dan pelancong ke negeri ini, selain ia juga lebih efisien.

“Dari semasa ke semasa, kita akan terus membuat hebahan dan memberikan maklumat secara terperinci berhubung aplikasi baharu ini supaya ia sampai kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Program Malaysia Book Of Records World Clean Up Day 2024 MBMB di Dataran Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Setiausaha MBMB Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh; Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Nor Zaki Md Nor dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Rais memaklumkan sepanjang tempoh peralihan ke aplikasi baharu, orang ramai dapat menikmati parkir percuma di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sehingga 1 Oktober ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1095
Kongsi :
Previous post MELAKA PECAH REKOD, 3,852 SUKARELAWAN SERTAI WORLD CLEAN UP DAY
Next post PERHEBAT PROGRAM KESEDARAN KANSER KANAK-KANAK
Ubah saiz-+=