Melaka sokong pembangunan bola sepak wanita

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

MASJID TANAH 12 Ogos – Bola sepak wanita menjadi antara sukan yang akan diperkasakan dalam melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama negara suatu hari nanti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri menyokong dan menggalakkan pembangunan sukan berkenaan untuk didedahkan seawal peringkat sekolah.

Menurutnya, ia sekali gus mampu mengembalikan kegemilangan Melaka yang sebelum ini berjaya mengharumkan nama negeri selepas dua tahun berturut-turut muncul johan Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah.

“Saya memberi galakan dan sokongan dalam apa jua sekali pun untuk anak-anak sekolah memenuhi masa lapangnya dalam beriadah dan bersukan, malah saya lihat sukan ini mampu membantu pembangunan arena bola sepak untuk wanita.

“Sambutan semua sekolah-sekolah seluruh Melaka dilihat mampu membina jati diri untuk membangunkan sukan ini ke tahap lebih tinggi.

“Biarpun rata-rata anak sekolah ini masih lagi di peringkat permulaan tetapi sekiranya diasah ia akan menjadi pelapis untuk mewakili negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Perempuan Bawah 12 Tahun Piala Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Tambichik Karim, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Exco Persatuan Bolasepak Melaka (Mafa), Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah; Timbalan Pengerusi Pengadil Mafa, Abdullah Derus; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri, Jamsari Mariman serta tetamu lain.

Kejohanan anjuran Mafa dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Firhan Sports dan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd itu telah menerima penyertaan seramai 28 buah sekolah dari seluruh Negeri Melaka.

IMG-20230812-WA0007
ANTARA aksi dipamerkan peserta pada Kejohanan Bola Sepak Perempuan Bawah 12 Tahun Piala Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Tambichik Karim.

Sementara itu, Ab Rauf turut menyarankan Mafa atau mana-mana pihak untuk terus menganjurkan kejohanan berkenaan khususnya membabitkan generasi muda di Melaka agar bakat anak-anak di bangku sekolah boleh diketengahkan.

“Penganjuran seperti ini mampu mencungkil bakat baharu untuk masa depan pasukan bola sepak wanita di negeri ni,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1161
Kongsi :
Previous post Perigi warisan pahlawan Melaka
Next post Melaka tidak rancang bina stadium baharu
Ubah saiz-+=