Melaka tidak rancang bina stadium baharu

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

MASJID TANAH 12 Ogos – Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk membina stadium tertutup baharu di negeri ini berikutan penggunaan fasiliti sedia ada di negeri ini masih berada di tahap yang rendah.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, walaupun ada cadangan meminta stadium tertutup dibina di negeri ini, namun ia tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat memandangkan pembinaan itu memerlukan kos yang tinggi.

Malah, kata beliau, negeri ini masih mempunyai fasiliti sukan terbaik di Kompleks Sukan Hang Jebat yang masih belum digunakan sepenuhnya untuk aktiviti sukan.

“Pembinaan stadium tertutup sebenarnya bergantung kepada permintaan. Dengan kedudukan Melaka pada masa kini, ia belum cukup lagi untuk menampung pembinaannya memandangkan kita masih mempunyai Kompleks Sukan Hang Jebat.

“Untuk membina stadium tertutup, ia memerlukan kos yang sangat tinggi dan kita perlu melihat keperluan ini (semula) berdasarkan permintaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Perempuan Bawah 12 Tahun Piala Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Tambichik Karim, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa), Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah; Timbalan Pengerusi Pengadil Mafa, Abdullah Derus; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri, Jamsari Mariman serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri kini berada pada landasan tepat untuk membangunkan semula Kompleks Sukan Hang Jebat sebagai lokasi aktiviti sukan dan riadah di Negeri Melaka.

“Pada peringkat awal ini kita sedang memulihkan dahulu imej pasukan bola sepak Melaka.

“Selepas itu, kita akan aktifkan dan menumpukan pembinaan baik pulih seperti di Padang 10 dan merancang untuk melaksanakan beberapa aktiviti sukan yang lain selepas ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2372
Kongsi :
Previous post Melaka sokong pembangunan bola sepak wanita
Next post Pelancongan sukan air antara tarikan utama TMM2024
Ubah saiz-+=