Melaka Tengah catat kes demam denggi tertinggi

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

PANTAI KUNDOR 26 Ogos – Daerah Melaka Tengah mencatatkan kes kumulatif demam denggi paling tinggi di negeri ini dengan 357 kes dari Januari hingga 21 Ogos lalu.

Ia diikuti daerah Alor Gajah sebanyak 54 kes dan Jasin 40 kes, namun tiada kematian dilaporkan dalam tempoh sama.

Berdasarkan laman sesawang Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), bagi minggu ke 33 tahun ini, sebanyak empat kes denggi dicatatkan di Melaka Tengah manakala Alor Gajah dan Jasin tiada kes.

Menyedari bahaya ancaman denggi kepada nyawa masyakarat, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor membeli jentera penyembur asap dengan kos RM5,000.

 

NOR AZMAN melihat petugasĀ  JAPERUN Pantai Kundor, Azmi Leman (kanan) dan Mohd Muaz Baharudin menyembur asap bagi membasmi nyamuk aedes di Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, biarpun belum ada kes denggi dicatatkan di DUN itu setakat ini, langkah proaktif dilakukan bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes.

“Kami melakukan ‘fogging’ atau menyembur asap pembasmi nyamuk dari satu taman ke taman yang lain dan dari satu kampung ke kampung lain mulai hari ini.

“Dua petugas JAPERUN dihantar menjalani latihan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah minggu lalu bagi mendalami kaedah mencampur bahan kimia bagi menghasilkan bahan pembasmi nyamuk aedes dan kaedah semburan.

“Kerja menyembur asap ini harus dijalankan hanya dalam tempoh antara lima hingga enam minit bagi sekali semburan sebelum disambung semula untuk mengelakkan jentera itu menghadapi masalah,” katanya ketika ditemui meninjau kerja menyembur asap oleh petugas JAPERUN itu di Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling, di sini hari ini.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tanah Merah Jaya, Mohamad Hassan, 74, berkata penduduk kampung itu bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada JAPERUN kerana membantu membasmi nyamuk aedes.

“Sekarang orang ramai sibuk berperang dengan COVID-19 tetapi kita jangan lupa demam denggi yang boleh meragut nyawa kalau lambat dirawat,” katanya.

Beliau mencadangkan kerja menyembur asap oleh petugas JAPERUN dibuat sebulan sekali untuk melengkapkan usaha petugas PKD Melaka Tengah menyembur asap yang sama tetapi hanya apabila ada kes denggi dilaporkan di satu-satu kawasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

947
Kongsi :
Previous post Hotel MITC rancang buka Asahan Cafe 2 di Jeti Taman Rempah
Next post Seramai 866 remaja, kanak-kanak dijangkiti COVID-19 di Sabah
Ubah saiz-+=