Melaka terima 4.77 bilion nilai pelaburan setakat September 2023

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

DURIAN TUNGGAL 22 Januari – Melaka menyasarkan lebih RM10 bilion nilai pelaburan akan dibawa masuk ke negeri ini bagi tahun 2024.

Optimis akan perkara terbabit Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata sebagai negeri mesra pelabur, beliau yakin dapat mencapai sasaran tersebut.

Jelasnya, setakat suku ketiga tahun lalu, Kerajaan Negeri menerima keseluruhan pelaburan bernilai RM4.77 bilion.

“Setiap tahun Melaka akan meletakkan sasaran Rm5 bilion untuk pelaburan, namun setakat 22 hari pada tahun ini kita telah menerima pelaburan bernilai RM50 juta dari syarikat dari Switzerland.

“Jadi saya optimis pada tahun ini, kita akan berjaya mencapai lebih RM10 bilion nilai pelaburan ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Audemars Microtec (Malaysia) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Angkasa Nuri di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia MIDA) , S.Sivasuriyamoorthy dan Ketua Pegawai Eksekutif Audemars Microtec (Malaysia) Sdn Bhd, Dr Mirko Audemars serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata termasuk syarikat dari Swiss, Audemars Microtec, sebanyak 60 kilang perindustrian melibatkan semikonduktor yang bertapak di Melaka.

Tambahnya, keyakinan syarikat-syarikat terbabit untuk beroperasi dan membuka peluang pekerjaan sehingga berkembang maju telah mengukuhkan imej positif Melaka sebagai salah satu daripada pilihan paling popular untuk hab pelaburan elektrik dan
elektronik di rantau ini.

“Sektor industri pembuatan telah menjadi tulang belakang kepada Melaka buktinya pada tahun 2022, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, sektor terbabit menyumbang sebanyak 27.2 peratus kepada Melaka.

“Sehingga kini, sektor industri di negeri ini mempunyai seramai 185,000 pekerja,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1534
Kongsi :
Previous post Melaka terima pelaburan RM50 juta dari syarikat komponen mikro dari Switzerland
Next post Melaka jamin kenaikan tarif air tidak bebankan pengguna
Ubah saiz-+=