Melaka jamin kenaikan tarif air tidak bebankan pengguna
DURIAN TUNGGAL 22 Januari – Kadar baharu tarif air yang akan diumumkan Kerajaan Negeri pada Rabu ini tidak akan membebankan rakyat terutama golongan B40.
Jaminan itu diberikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang memaklumkan penyelarasan kadar tarif itu tidak dapat dielakkan susulan kos naik taraf paip bawah tanah yang tidak pernah diganti sejak 18 tahun lalu.
Katanya, penggantian paip bawah tanah itu sewajarnya dilakukan berikutan berlaku kehilangan air akibat paip bocor serta kerosakan paip.
“Kenaikan tarif air ini bukan sahaja berlaku di Melaka, ia akan berlaku di seluruh negeri.
“Perkara ini merupakan satu langkah bijak dan drastik yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan di mana kos kenaikan itu untuk menaik taraf paip-paip bawah tanah.
“Kedudukan paip bawah tanah ini menyumbang kepada 40 peratus ‘non revenue water’ yang hilang akibat paip pecah dan pelbagai permasalahan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Audemars Microtec (Malaysia) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Angkasa Nuri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, S Sivasuriyamoorthy dan Ketua Pegawai Eksekutif Audemars Microtec (Malaysia) Sdn. Bhd., Dr Mirko Audemars serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kenaikan kadar tarif air itu tidak akan melebihi RM0.22 sen di seluruh negara.
“Had siling yang dikenakan tidak melebihi kadar RM0.22 sen, dan kita akan melihat sejauh mana kadar ini boleh sampai.
“Kerja-kerja penyelenggaraan dan pertukaran paip bawah tanah ini mesti dibuat samada menukar atau membaiki ia memerlukan kos yang perlu ditampung bersama.
“Kita akan memastikan bekalan air ini paling kurang 90 peratus pengguna dapat dan kadar baharu yang ditetapkan tidak akan membebankan pengguna,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.