Sorting by

×

MELAKA TERUSKAN MOMENTUM KECEMERLANGAN, CAPAI LEBIH 10 PENCAPAIAN SETENGAH TAHUN 2026

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Melaka menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat lebih 10 pencapaian dan pengiktirafan pelbagai peringkat sepanjang separuh pertama tahun 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen berterusan seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri yang bekerja keras memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan berkesan.

“Melaka hari ini bukan sekadar bergerak, tetapi sedang mencipta momentum yang semakin kukuh ke arah sebuah negeri lebih maju, sejahtera dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.

Menurutnya, antara pencapaian utama direkodkan termasuk kejayaan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka serta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menerima Penarafan Lima Bintang sempena Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan.

“MPAG turut mencatat sejarah tersendiri apabila tersenarai sebagai salah satu daripada enam penerima Anugerah Perdana Keselamatan Perlindungan Tahun 2025.

“Selain itu, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Melaka (PLANMalaysia Melaka), Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka serta Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut berjaya menembusi kelompok 10 terbaik Pelaksanaan Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN 2.0) Perkhidmatan Awam Tahun 2025.

“Manakala, Melaka River Cruise terus mengharumkan nama negeri apabila meraih dua pengiktirafan antarabangsa iaitu ‘Asia Tourism Hospitality Award 2025’ bagi kategori ‘Leading River and Coastal Tourism Development Authority’ serta ‘Most Promising Partner Award 2026’ daripada Trip.com di Shanghai, China,” katanya.

Ab Rauf berkata, pencapaian ini membuktikan pentadbiran negeri berada di landasan tepat dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta melonjakkan imej Melaka di peringkat nasional dan antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post NELAYAN BERLESEN MELAKA KINI DIBENAR TANGKAP IKAN DI PULAU BESAR
Next post MELAKA SASAR 20 PINGAT EMAS PADA SUKMA SELANGOR