
NELAYAN BERLESEN MELAKA KINI DIBENAR TANGKAP IKAN DI PULAU BESAR
AYER KEROH 22 Jun – Nelayan berlesen di Melaka kini diberikan kebenaran khas untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan di sebahagian kawasan larangan perikanan Pulau Besar selepas mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.
Keputusan itu dijangka memberi manfaat dalam membantu meningkatkan hasil tangkapan dan jumlah pendapatan seramai 1,241 nelayan tempatan yang sebelum ini terkesan susulan sekatan aktiviti penangkapan ikan di perairan berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kebenaran itu dimaklumkan secara rasmi oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) hasil rundingan berterusan Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan kebajikan serta kelangsungan hidup komuniti nelayan Melaka.
Menurutnya, keputusan dibuat pada 15 April 2026 itu merupakan satu langkah signifikan kerana berjaya mengimbangi keperluan pemuliharaan sumber marin dengan kepentingan sosioekonomi nelayan tempatan yang bergantung kepada laut sebagai sumber rezeki.
“Kerajaan Negeri menyambut baik keputusan ini kerana ia memberi keseimbangan antara usaha pemuliharaan sumber perikanan negara dengan keperluan rakyat untuk meneruskan sumber pendapatan mereka.
“Kebenaran khas ini akan memberi manfaat besar kepada komuniti nelayan tempatan selain membantu meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan mereka tanpa menjejaskan agenda pemuliharaan sumber marin negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.
Ab Rauf berkata, kawasan perairan Pulau Besar telah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan sejak 1998 di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 bagi tujuan pemuliharaan sumber marin dan biodiversiti.
Walau bagaimanapun, katanya Kerajaan Persekutuan mengambil kira kepentingan sosioekonomi komuniti nelayan tempatan sebelum bersetuju memberikan kebenaran khas kepada nelayan berlesen Melaka untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan tertentu.
“Melalui Pekeliling Pelesenan Bilangan 2 Tahun 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia, beberapa syarat telah ditetapkan bagi memastikan aktiviti penangkapan ikan dilaksanakan secara terkawal dan lestari.
“Kebenaran ini hanya diberikan kepada nelayan berlesen yang berpangkalan di Melaka menggunakan vesel atau sampan tradisional yang mempunyai lesen sah. Peralatan menangkap ikan dibenarkan adalah kaedah kail-mengail seperti pancing, rawai dan candat sotong.
“Aktiviti penangkapan ikan pula hanya dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 6 petang dan operasi hanya boleh dilakukan di kawasan telah ditetapkan di sebelah utara Pulau Besar,” katanya.
Jelasnya, aktiviti memancing dari daratan Pulau Besar bagaimanapun terus dibenarkan tanpa had masa sebagaimana yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan DOF bagi memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan selain menjamin kelestarian sumber perikanan untuk generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


