
MELAKA TERIMA LEBIH ENAM JUTA PELANCONG SETAKAT MEI, IMPAK EKONOMI DIANGGAR RM6.24 BILION
AYER KEROH 22 Jun – Melaka terus menjadi destinasi percutian pilihan dengan angka terkini merekodkan seramai enam juta pelancong singgah ke negeri ini untuk bercuti dan menikmati pelbagai produk menarik yang ditawarkan setakat Mei lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan positif itu juga memberikan impak ekonomi dianggarkan berjumlah RM6.24 bilion kepada Negeri Melaka.
Katanya, pencapaian itu adalah hasil komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sektor pelancongan termasuk membuka lebih banyak laluan penerbangan antarabangsa dan domestik baharu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam.
“Kerajaan Negeri juga sedang melihat potensi LTAM yang kini menyediakan laluan penerbangan antarabangsa daripada Pekanbaru, Indonesia ke Melaka dan Melaka-Pekanbaru. Kita juga sedang berunding untuk membuka satu lagi laluan baharu iaitu Batam, Indonesia -Melaka dan Melaka-Batam.
“Rundingan juga melibatkan dua laluan domestik iaitu Kota Bharu-Melaka dan Melaka-Kota Bharu, Pulau Pinang-Melaka dan Melaka-Pulau Pinang,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.
Terdahulu pada 19 Jun lalu Ketua Menteri mengadakan Lawatan Kerja Menyambut Ketibaan Penumpang Penerbangan Wings Air Pekanbaru-Melaka di LTAM, Batu Berendam.
Kecekapan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam membuktikan kemudahan itu bersedia menerima pertambahan laluan dan penerbangan komersial pada masa hadapan.
Meskipun LTAM hanya mempunyai satu pintu pelepasan dan ketibaan, pengurusan operasi yang cekap membolehkan penerbangan antarabangsa dikendalikan dengan lancar mengikut piawaian ditetapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


