Sorting by

×

MELAKA KEKALKAN MOMENTUM KECEMERLANGAN PADA STPM 2025

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Melaka sekali lagi melakar pencapaian yang amat membanggakan menerusi keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2025 yang diumumkan pada 18 Jun lalu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, Melaka merekodkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) kepada 2.93 mata berbanding 2.88 mata pada tahun 2024.

Katanya lebih membanggakan, kali ini seramai 36 calon berjaya memperoleh PNGK 4.00 atau 4 flat, sekali gus mengharumkan nama Melaka di persada pendidikan negara.

“Negeri Melaka juga berjaya meraih dua pengiktirafan utama iaitu Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah, Durian Daun menerima Anugerah Kolej Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025.

“Sementara itu anak Melaka Ng Zhen Hong yang juga pelajar Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Aliran Sains. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada adik Ng Zhen Hong,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.

Berkongsi kegembiraan atas pencapaian itu Ketua Menteri turut mengucapkan syabas buat warga Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, para pendidik, ibu bapa serta anak-anak Tingkatan 6 Melaka atas kejayaan yang cukup membanggakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKASA MISI ‘SATU KELUARGA SEBUAH RUMAH’
Next post MELAKA TERIMA LEBIH ENAM JUTA PELANCONG SETAKAT MEI, IMPAK EKONOMI DIANGGAR RM6.24 BILION