Sorting by

×

MELAKA PERKASA MISI ‘SATU KELUARGA SEBUAH RUMAH’

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Sejak ditubuhkan lebih dua dekad lalu, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bukan sekadar merancang dan menyelaras projek perumahan, tetapi memastikan dasar kerajaan membuka jalan kepada lebih ramai keluarga untuk memiliki kediaman yang selesa, selamat serta mampu dimiliki.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dalam konteks ini sejak tahun 2018, melalui dasar Rumah Mampu Milik (RMM), LPM telah menyelaras dan memudah cara penyediaan sebanyak 61,935 unit kediaman untuk rakyat di negeri ini.

Katanya, apa yang lebih membanggakan, LPM turut berperanan memastikan harga rumah kekal mampu milik dalam rakyat lingkungan rakyat dan berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi suku pertama 2026 harga rumah di Melaka adalah paling rendah di Malaysia.

“Kadar kemampuan perumahan Melaka turut berada antara yang terbaik di Malaysia, dengan nisbah kemampuan sekitar 3.27 berbanding purata nasional 4.39. Keadaan ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada kadar pemilikan rumah di Melaka yang kini mencecah 85.6 peratus, jauh lebih tinggi berbanding kadar nasional iaitu 78.0 peratus.

“Saya yakin, keistimewaan yang dimiliki oleh Melaka ini juga turut memberi manfaat kepada semua penjawat awam negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di Melaka, tidak seperti di negeri-negeri lain yang harga jualan rumah bahkan sewaan rumahnya juga jauh lebih tinggi,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.

Ab Rauf berkata, LPM turut membantu rakyat memiliki rumah sendiri menerusi Skim Sewaan Untuk Dimiliki (Rent-To-Own) dan sehingga kini, lebih 1,100 individu telah berjaya memiliki kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong dan PPR Tehel.

Jelas Ketua Menteri inisiatif ini akan terus diperluas ke PPR Klebang, PPR Tangga Batu dan PPR Bukit Katil, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai rakyat Melaka memiliki rumah sendiri.

“Selain itu, Program Melaka Rumahku turut digerakkan sebagai inisiatif membantu rakyat membina rumah baharu atau membaik pulih kediaman sedia ada, khususnya bagi keluarga yang benar-benar memerlukan. Saya berharap, inisiatif ini menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik, sekali gus memberi sinar harapan buat para penerima dan keluarga mereka,” katanya.

Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyampaikan surat tawaran kepada lima penerima manfaat Program Melaka Rumahku (PMR) bagi pembinaan rumah baharu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM350,000 yang diharap menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik, sekali gus memberi sinar harapan buat mereka berkenaan dan keluarga masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post JELAJAH KETUA MENTERI BERMULA JULAI INI
Next post MELAKA KEKALKAN MOMENTUM KECEMERLANGAN PADA STPM 2025