Sorting by

×

JELAJAH KETUA MENTERI BERMULA JULAI INI

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Jelajah Ketua Menteri menjadi satu lagi inisiatif dalam usaha berterusan Kerajaan Negeri menyantuni dan menjaga kebajikan agar tidak ada rakyat Melaka yang keciciran daripada menerima bantuan atau menghadapi masalah secara bersendirian.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi jelajah dijadualkan bermula 5 Julai ini beliau sendiri akan turun padang berjumpa rakyat di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh sehari.

Katanya, objektif utama jelajah adalah untuk melihat sendiri keadaan di lapangan, mendengar secara langsung isu dan keperluan rakyat, sekali gus menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya mahu setiap kunjungan berakhir dengan tindakan yang jelas bukan sekadar mendengar dan mencatat, tetapi memastikan setiap isu disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab, diberikan tindakan susulan serta dipantau sehingga selesai.

“Justeru, saya mengharapkan kerjasama sepenuhnya daripada semua jabatan, agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar sentiasa bersedia memberikan sokongan serta komitmen terbaik dalam menjayakan setiap siri Jelajah Ketua Menteri yang akan dilaksanakan, agar setiap usaha yang digerakkan benar-benar membawa hasil kepada rakyat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bulan Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin selaku penganjur perhimpunan kali ini, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.

Ab Rauf berkata, dalam menyantuni tuntutan rakyat, Kerajaan Negeri sebelum ini melaksanakan inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang terbukti berkesan dalam membantu menyelesaikan permasalahan di DUN berkenaan termasuk isu yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Menurutnya, setiap siri WRUR mendapat sambutan yang amat baik daripada rakyat dan lebih utama setakat ini lebih 2,600 aduan atau 66 peratus daripada keseluruhan lebih 4,000 aduan yang diterima telah berjaya diselesaikan.

“Inilah ukuran sebenar kejayaan WRUR…Bukan pada berapa banyak program yang kita anjurkan, tetapi pada berapa banyak masalah rakyat yang berjaya kita selesaikan.

“Alhamdulillah, setelah selesai berkampung di Parlimen Kota Melaka, WRUR kini diteruskan ke Parlimen Jasin, dengan DUN Rim membuka tirai pelaksanaannya, sekali gus menandakan penganjuran WRUR siri ke-20,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post MBMB NAIK TARAF SUNGAI PUNGGUR JADI DESTINASI RIADAH BAHARU
Next post MELAKA PERKASA MISI ‘SATU KELUARGA SEBUAH RUMAH’