Sorting by

×

MBMB NAIK TARAF SUNGAI PUNGGUR JADI DESTINASI RIADAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TELOK MAS 22 Jun – Kawasan Sungai Punggur yang terletak berhadapan Medan Ikan Bakar D’ Muara Punggur, Alai akan dinaik taraf sebagai kawasan rekreasi dan riadah baharu yang dijangka siap pada tahun 2027.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, projek berkenaan melibatkan kos RM2 juta yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Katanya, projek tersebut melibatkan sepanjang kira-kira 700 meter itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk laluan pejalan kaki, trek joging dan laluan berbasikal bagi memenuhi keperluan aktiviti riadah masyarakat.

“Projek ini adalah kesinambungan daripada naik taraf Medan Ikan Bakar D’Muara Punggur dan taman rekreasi ini adalah untuk menambah tarikan di kawasan berkenaan supaya lebih ramai pengunjung datang pada masa akan datang.

“Projek ini akan menjadikan kawasan sungai lebih menarik, selesa dan mesra keluarga untuk aktiviti riadah,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Medan Ikan Bakar D’ Muara Punggur yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, projek tersebut kini berada di peringkat penilaian tender dan proses pelantikan kontraktor dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.

Tambahnya, projek berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk disiapkan dengan sasaran siap pada tahun 2027.

“Apabila siap nanti, kawasan ini akan turut dilengkapi kemudahan tambahan termasuk wakaf berteduh serta ruang riadah yang boleh dimanfaatkan penduduk dan pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post TAMAN ANJUNG GAPAM KAWASAN PERUMAHAN SELESA, HARMONI – PENDUDUK
Next post JELAJAH KETUA MENTERI BERMULA JULAI INI