Sorting by

×

TAMAN ANJUNG GAPAM KAWASAN PERUMAHAN SELESA, HARMONI – PENDUDUK

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BEMBAN 22 Jun – Kawasan kediaman sempurna bukan sekadar dinilai kepada keharmonian penduduk semata-mata, sebaliknya turut menjurus kepada keperluan komuniti setempat menerusi pembangunan fasiliti dan infrastruktur yang lengkap.

Melihat kepentingan aspek tersebut, pembangunan Taman Anjung Gapam yang siap dibina pada tahun 2019 disifatkan sebagai sebuah taman perumahan ideal oleh penduduknya sehingga kini.

Penduduk Taman Anjung Gapam, Hanif Matar, 69, berkata, sepanjang empat tahun menetap di taman perumahan itu, dia mendapati kawasan berkenaan menawarkan persekitaran yang kondusif dan berada di lokasi yang strategik untuk penduduk.

“Suasana di sini sangat kondusif dan penduduk juga sentiasa prihatin antara satu sama lain serta bekerjasama dalam setiap program yang dianjurkan. Kemudahan yang paling saya suka ialah taman rekreasi dan surau yang cantik.

“Selain itu, kawasan ini mempunyai jaringan jalan raya yang mudah diakses ke bandar serta sempadan negeri berhampiran seperti Johor,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Acara ‘A Day To Remember At Taman Anjung Gapam’ anjuran GJH Group di Taman Anjung Gapam, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Suhaila Ab Shukur, 40, berkata, kemudahan asas yang lengkap dan mudah diakses menjadi antara faktor utama yang menjadikan kawasan perumahan tersebut selesa untuk didiami.

“Pelbagai kemudahan yang ada di sini, menjadikan kehidupan saya selesa. Barangan keperluan asas mudah diperoleh kerana kemudahan seperti pusat membeli-belah, kedai dan juga bank terletak tidak jauh dari taman perumahan ini,” katanya yang merupakan seorang guru.

Mohd Ridzuan Abu, 49, pula menyifatkan persekitaran yang sejahtera dan selesa menjadikan komuniti di kawasan itu lebih aktif dalam penganjuran pelbagai program sepanjang tahun, sekali gus memupuk kebersamaan dalam sudut kejiranan.

“Banyak aktiviti menarik dianjurkan persatuan penduduk. Setiap program mendapat sambutan yang meriah dan kami berasa seronok serta berpuas hati kerana dapat mengeratkan hubungan kejiranan,” katanya.

Sementara itu, rata-rata penduduk turut bersetuju bahawa program seperti ‘A Day To Remember At Taman Anjung Gapam’ yang dianjurkan pemaju GJH Group sangat baik kerana bukan sahaja menarik ramai pengunjung, malah memperkenalkan suasana, kemudahan dan kelebihan kawasan perumahan tersebut kepada bakal pembeli kediaman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

586
Kongsi :
Previous post LEBIH 80 PROGRAM UNTUK ORANG RIM SEMPENA WRUR
Next post MBMB NAIK TARAF SUNGAI PUNGGUR JADI DESTINASI RIADAH BAHARU