
LEBIH 80 PROGRAM UNTUK ORANG RIM SEMPENA WRUR
RIM 22 Jun – Lebih 80 program melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dilaksanakan sepanjang seminggu berlangsungnya program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, WRUR akan menjelajah ke kesemua 13 kampung di dalam DUN Rim termasuk Kampung Orang Asli.
Beliau berkata, program yang dirangka sehingga 27 Jun ini memberi ruang penyelesaian secara langsung terhadap isu kebajikan, peluang ekonomi, pendidikan, kesihatan, pembangunan komuniti serta pengukuhan perpaduan masyarakat.
“DUN Rim merupakan permulaan kepada WRUR di Parlimen Jasin untuk itu sepanjang seminggu ini setiap hari akan ada program, di mana ia bukan hanya untuk mengajak orang ramai datang memeriahkan suasana bahkan kami membawa bersama-sama agensi yang rapat dengan urusan rakyat.
“Sekiranya ada urusan yang perlu diselesaikan dalam kadar segera kita akan cuba bantu selesai dalam seminggu ini. Ia bukan bermaksud sebelum ini saya tidak terima tetapi kali ini lebih baik kerana terdapat semua agensi jadi pelaksanaan lebih tepat dan penyelesaian lebih laju.
“Tujuh hari ini saya ada bersama untuk pastikan jangan ada yang teringgal dalam sebarang urusan sama ada kecil atau besar, lama atau baharu,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program WRUR DUN Rim yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Masjid At-Taqwa Kampung Rim, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Adun Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abd Azis; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.
Menurut Khaidhirah, bersempena WRUR DUN Rim juga turut akan berlangsung sambutan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka.
“Selain itu, pada majlis perasmian kita bawakan acara tradisi masyarakat Kampung Rim iaitu Jom Berkubang dengan pelbagai acara menarik membabitkan penyertaan pelbagai peringkat usia.
“Selain itu, turut diadakan program bersama anak yatim, diikuti program keagamaan seperti Program Bacaan Yasin Perdana DUN Rim dan Karnival Islam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


