Membudayakan sukan dalam kalangan OKU Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 3 Disember – Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasakan agenda Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini menerusi pelbagai program dan aktiviti berbudaya sukan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang mimiliki kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti insan  yang lain.

Justeru, katanya, bagi memastikan OKU tidak ketinggalan, mereka perlu diberi peluang untuk terlibat dalam apa juga program berbentuk gaya hidup sihat yang bakal memberi nilai tambah kepada individu atau organisasi OKU itu sendiri.

“Saya menyokong dan mendokong usaha semua pihak yang sama-sama berusaha memberi perhatian kepada pembangunan golongan OKU ini.

“Inisiatif yang diambil ini sangat penting untuk membudayakan sukan dalam kalangan golongan OKU bagi mengekalkan tahap kesihatan yang optimum dan motivasi yang tinggi.

“Saya yakin, pelaksanaan pelbagai program untuk OKU ini bukan sahaja bertujuan memupuk masyarakat dengan budaya hidup cergas dan sihat. Malah melalui program seperti ini juga mampu mengintegrasikan nilai-nilai murni dalam kalangan golongan itu untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan di samping turut mendapat sokongan yang padu dalam kalangan penggerak-penggerak sukan OKU khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Program Karnival Sukan Inspire OKU Aktif Peringkat Negeri Melaka di sebuah kompleks-beli belah, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka Khairul Adri Rosli dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.

Karnival berkenaan merupakan anjuran JBS Melaka dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka, Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Melaka (PESRON), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka melalui Sektor Pendidikan Khas, dan Penggerak-penggerak Persatuan OKU Negeri Melaka.

Terdapat tiga segmen utama yang diletakkan sebagai asas pelaksanaan karnival itu iaitu membabitkan Segmen Sukan, Segmen Gaya Hidup Aktif dan Segmen Interaktif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2739
Kongsi :
Previous post JAIM intai pasangan kekasih di hotel
Next post Empat pelajar sekolah ditahan bergaduh sebab campak duit beli minuman
Ubah saiz-+=