Mendiang pernah mengadu sakit dada, berat badan turun mendadak

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Jun – Pemergian Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra disifatkan cukup mengejutkan.

Kehilangannya nyata dirasai oleh rata-rata penjawat awam negeri ini terutamanya warga kerja APM.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) APM Melaka, Harmiza Haron berkata, sebelum ini mendiang memang seorang yang komited dengan tugas dan tidak pernah mengambil cuti.

Namun katanya, selepas Hari Raya Aidilfitri lalu, mendiang mula menunjukkan perubahan fizikal apabila berat badannya turun secara mendadak.

Sebagai antara individu yang rapat, katanya, mendiang juga pernah mengadu sakit dada sebelum mereka menyarannya membuat pemeriksaan kesihatan.

“Lepas raya memang nampak perubahan fizikal dan dia ada mengadu sakit dada dan kami memintanya membuat pemeriksaan.

“Mendiang memang ada pergi ke klinik kesihatan, tetapi kami tidak dimaklumkan butiran mengenai penyakitnya.

“Bila dapat tahu mendiang rebah di pejabat pagi tadi, saya memang terkejut kerana ia tidak pernah terjadi sebelum ini dan saya yang berada di dalam kursus juga tidak boleh memberikan fokus penuh,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) APM Melaka, Harmiza Haron. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, Harmiza berkata, sepanjang mengenali, mendiang disifatkan sebagai seorang pegawai yang sangat bertanggungjawab dan mudah berurusan.

“Boleh dikatakan dia (mendiang) sangat meletakkan dirinya di dalam jabatan dan sangat mudah berurusan.

“Dia seorang pegawai yang tidak pernah fikir tentang diri sendiri sebaliknya apa-apa yang dilakukan adalah untuk jabatan,” katanya.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan Cuthbert, 47 meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah di pejabatnya, pagi tadi.

Mendiang yang merupakan anak jati Keningau, Sabah memulakan khidmat sebagai Pengarah APM Melaka berkuat kuasa 1 Jan 2021, selain pernah berkhidmat bersama APM Pulau Pinang sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1430
Kongsi :
Previous post Pesara rugi RM220,500 diperdaya ‘cinta’ doktor Syria
Next post LHDN kesan 31,598 entiti tidak lapor pendapatan sebenar
Ubah saiz-+=