Menu Rahmah, amat menjimatkan
AYER KEROH 2 Februari – Harga murah dan sesuai dengan selera semua lapisan masyarakat, itu antara reaksi pelanggan yang datang membeli Menu Rahmah di Pasar Raya Mydin MITC, di sini, hari ini.
Pelanggan Noor Solehah Mohd Nasir, 29, berkata, harga RM4.90 yang ditawarkan bagi makanan tengah hari amat berbaloi dan meringankan beban susulan kenaikan harga barang yang berlaku.
“Semalam ada terbaca di media dan hari ini saya datang untuk mencuba, ternyata menunya menyelerakan cukup untuk hidangan tengah hari iaitu ada ikan, sayur dan juga air.
“Harganya sudah pasti amat murah, jika sebelum ini untuk makan tengah hari sahaja saya perlu belanja antara RM10 hingga RM15 untuk satu hidangan tetapi dengan Menu Rahmah, duit itu boleh dibelanjakan untuk dua hari,” katanya ketika ditemui hari ini.
Dia yang juga kakitangan awam berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan ini perlu dikekal dan diteruskan pada masa hadapan dalam membantu meringangkan kos sara hidup rakyat.
Bagi suri rumah, Akma Yusof, 48, pula berkata, dia yang tinggal di Merlimau, Jasin, sanggup ke pasar raya itu untuk mencuba sendiri menu yang dijual.
“Untuk hari ini menu sambal ikan, sayur kobis goreng nampak amat menyelerakan dan sesuai dengan citarasa semua. Dengan harga RM4.90 yang dijual memang amat berbaloi.
“Jika beli di luar memang payah untuk dapat harga murah sebegini, jadi rakyat sekarang sudah ada pilihan untuk mendapatkan hidangan tengah hari dengan harga yang murah,” katanya yang membeli dua set Menu Rahmah.
Seorang lagi pembeli Juliana Samni, 42, yang juga penjawat awam berkata, inisiatif Menu Rahmah yang dilaksanakan bertetapan pada waktunya kerana keadaan ekonomi pada masa kini agak tinggi.
“Selepas ini kalau ada RM10 untuk makan tengah hari tidak perlu risau lagi malah menu yang disediakan setiap hari juga berubah-berubah. Kami ada pilihan untuk membeli,” katanya.
Sementara itu, selain hidangan nasi putih dan lauk, turut dijual adalah nasi lemak, mee goreng dan kuey teow goreng dengan harga hanya RM2.50.
Menurut jurucakap pasaraya itu, hidangan itu dijual bermula jam 12 tengah hari sehingga malam bagaimanapun ia akan dimasak beberapa kali bagi menjamin lauk pauk yang dijual sentiasa terjamin.
“Untuk jualan semalam, amat menggalakkan dan ramai yang datang membeli menu nasi putih, ayam goreng kunyit dan bayam. Sama seperti hari ini, sebaik dibawa keluar sudah ada yang menunggu untuk membeli,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.