‘Merakyatkan’ seni budaya warisan Jonker Walk 28 Julai ini

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Julai – Festival Merakyatkan Seni Budaya Jonker Walk yang dijadual diadakan pada 28 hingga 30 Julai ini menyemarakkan semula seni budaya dan warisan tempatan selain mempromosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kepada pelbagai lapisan masyarakat terutama generasi muda hari ini.

Festival yang diadakan di Jonker Walk itu adalah program kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (Peranakan), Jawatankuasa Jonker Walk serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka (JKKNM).

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam satu kenyataan berkata, festival bertemakan ‘Warisan Akar Umbi’ itu mampu memupuk nilai murni dan semangat kerjasama dalam kalangan komuniti terutama di kawasan Jonker Walk yang merupakan tapak warisan dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam usaha memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negara.

Katanya, festival itu dianjurkan demi memastikan seni budaya warisan negara dapat dipersembahkan kepada pelbagai lapisan masyarakat selain menyemai rasa kecintaan terhadap seni, budaya dan warisan serta menyemarakkan semula indusri pelancongan negara.

“Festival itu turut melibatkan pengusaha premis pelancongan, jawatankuasa rumah ibadat do Jalan Harmoni yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Tukang Emas di Melaka, yang mana cukup terkenal dengan kewujudan rumah ibadah iaitu Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Masjid Kampung Kling dan Tokong Cheng Hoon Teng.

“Di samping itu, masyarakat turut dimeriahkan dengan program Kenduri Muhibbah: Makan Ala ‘Tok Panjang’ di perkarangan Pentas Opera yang berusia ratusan tahun terletak di hadapan Tokong Cheng Hoon Teng, Jalan Harmoni,”

“Program Silang Budaya mempersembahkan beberapa kumpulan kesenian antaranya, Kumpulan Keroncong Peranakan Melaka; The Siblings Band Melaka; Kumpulan Kesenian Kebudayaan Baba Nyonya Melaka; Trio Peranakan Melaka; Kumpulan Kesenian JKKN Melaka dan Negeri Sembilan (Canang Sendeng Cak Lempong); Persatuan Chin Woo, Melaka; Kumpulan Tarian Singa dan Tarian Naga Jonker Walk; Persatuan Barongan dan Kuda Kepang Kampung Parit Bugis, Muar, Johor serta Kiawaian Dance Club, Tambunan, Sabah,” kata kenyataan itu.

Festival berkenaan akan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Orang ramai yang mahu mengetahui maklumat lanjut mengenai festival berkenaan boleh melayari laman Facebook, Instagram dan TikTok JKKN Melaka Fanpage.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1814
Kongsi :
Previous post Negara kehilangan tokoh perjuangkan nasib rakyat – PM
Next post Ayah milik rakyat, pernah pesan mahu ‘pergi’ ketika bekerja untuk rakyat – anak
Ubah saiz-+=