Merokok, tapi bagi alasan kencing manis tak puasa

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 21 April – Peniaga lelaki warga emas dan pelanggannya yang mendakwa menghidap kencing manis didenda pihak berkuasa berikutan menjual makanan kepada orang Islam pada waktu siang dan merokok di tempat awam, semalam.

Operasi Tak Puasa dijalankan sepasukan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu membabitkan lapan anggota yang melakukan operasi di sekitar kawasan panas di sekitar bandar ini.

Ops turut disertai Pengarah JAIM Datuk Che Shukri Che Mat dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka Akmal Nadzim Abdullah.

Che Sukri berkata, hasil pemeriksaan di sebuah premis restoran di Bukit Baru jam 1 petang semalam mendapati ia menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa secara pandu lalu (drive-thru).

“Premis berkenaan menyediakan pelbagai nasi campur dan air minuman telah siap dibungkus untuk dijual kepada pembeli.

“Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) telah melakukan penyamaran dan pemerhatian sebelum pemeriksaan dijalankan dan didapati berlakunya aktiviti membeli makanan secara pandu-lalu (tanpa turun daripada kenderaan).

“Ketika serbuan dijalankan, pembeli lari meninggalkan restoran tersebut,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi serbuan itu, pemilik premis berusia 62 tahun menafikan menjual makanan dan minuman kepada masyarakat Islam sebaliknya menjual kepada orang bukan Islam.

“Dalam serbuan itu, JAIM turut mengesan lelaki berusia 53 tahun sedang menghisap rokok ketika sedang menunggu bungkusan makanan yang dipesan daripada premis terbabit.

“Lelaki tersebut bagaimanapun menggunakan alasan sakit kencing manis namun alasan itu tidak relevan dengan tindakannya menghisap rokok di tempat awam,” katanya.

Che Sukri berkata, berikutan itu pemilik premis berkenaan diberikan surat perintah hadir mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 untuk siasatan lanjut yang boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

“Manakala seorang lagi lelaki yang melakukan kesalahan merokok pada waktu siang bulan Ramadan dikenakan denda mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, yang boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM500 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata, JAIM melalui Bahagian Penguatkuasaan akan terus melakukan pemantauan dan rondaan secara berkala pada waktu siang sepanjang bulan ini di lokasi hotspot di negeri ini.

Menurut Che Sukri, orang Islam di Melaka khususnya diingatkan supaya terus memelihara kesucian agama Islam dan tidak mencemarkannya serta menghormati bulan yang mulia dan penuh berkat ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

764
Kongsi :
Previous post Ames Hotel saji 180 juadah berbuka puasa
Next post 37 pelajar positif, KVDSMZ tutup sementara mulai hari ini
Ubah saiz-+=