37 pelajar positif, KVDSMZ tutup sementara mulai hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 21 April. – Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zain (KVDSMZ), Alor Gajah diarah tutup sementara selama dua minggu bermula hari ini hingga 4 Mei depan selepas 37 pelajarnya dikesan positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pada 16 April lalu pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerima notifikasi kes positif seorang pelajar kolej itu dari saringan bergejala dan pulang dari Zon Merah.

Beliau berkata, susulan itu saringan segera dilakukan ke atas 196 orang kontak rapat kepada kes positif itu membabitkan rakan kolej dan guru.

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

“Sehingga hari ini, hasil saringan mengesahkan terdapat 37 pelajar kolej positif Covid-19.

“Semua pelajar yang positif telah diasingkan dan dirujuk untuk rawatan lanjut. Kesemua kontak
rapat yang disaring telah diberikan arahan kuarantin dan dipakaikan gelang kuarantin,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Rahmad berkata, susulan terdapat pertambahan kes hari ini, penilaian seterusnya telah mengenalpasti seramai 430 kontak rapat kepada kes-kes positif yang lain dan saringan swab COVID-19 akan dijalankan dalam masa terdekat oleh pihak kesihatan.

“(Sehubungan itu) penutupan sementara KVDSMZ bermula hari ini (21 April) hingga 4 Mei depan.
“Pemantauan berterusan bagi kontak rapat kes-kes positif di blok terlibat akan diteruskan,” katanya menambah proses disinfeksi premis dijalankan dengan kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri.

Pihak jabatan bersama pihak kolej dan semua agensi terlibat sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengekang penularan jangkitan ini.

“Sehubungan itu saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau melalui e-mel [email protected].

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

938
Kongsi :
Previous post Merokok, tapi bagi alasan kencing manis tak puasa
Next post Pemegang PLS tamat tempoh perlu mohon pas khas mulai esok
Ubah saiz-+=