Mesin jahit antik koleksi terbaharu Muzium Mersing

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JOHOR BAHRU, 24 Jan. – Mesin jahit antik berusia lebih 40 tahun bakal menjadi koleksi terbaharu Muzium Mersing, yang turut menyimpan pelbagai artifak sejak dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, pada Mei 2016.

Menurut catatan di Facebook rasmi baginda hari ini, Sultan Ibrahim bertitah supaya mesin jahit itu ditempatkan di muzium berkenaan untuk dipamerkan kepada pengunjung.

Mesin jahit antik milik wanita berusia 90 tahun itu dipersembahkan oleh anak wanita tersebut, Choo Ming Hooi, 62, kepada Baginda, di Istana Flintstones semalam.

Baginda juga meluangkan masa meneliti mesin jahit antik tersebut.

“Saya amat menghargai kesungguhan pemiliknya yang mahu menunjukkan mesin jahit antik itu kepada saya.

“Mesin itu sudah tidak lagi digunakan kata pemiliknya, kerana ia sebuah barangan antik maka boleh disimpan di Muzium,” titah baginda menerusi hantaran itu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melihat mesin jahit dipersembahkan Choo kepada baginda. Foto kredit Facebook rasmi Sultan Ibrahim

Sementara itu, Choo yang menetap di Mersing berkata, mesin jahit antik tersebut dipersembahkan kepada Baginda yang diketahui amat gemar mengumpul barangan antik, dan turut mempunyai pelbagai simpanan koleksi, setelah dinasihati oleh seorang rakan karibnya.

“Pada mulanya, saya bercadang untuk membuang sahaja mesin jahit itu kerana tidak berfungsi serta tidak lagi digunakan oleh ibu.

“Namun, seorang rakan karib memberitahu bahawa mesin jahit ini sangat antik dan turut berpeluang untuk menunjukkan barangan itu kepada Sultan Johor,” katanya.

Views:

1107
Kongsi :
Previous post Ajal langgar khinzir
Next post Bekalan minyak masak paket pulih
Ubah saiz-+=